Empat tonggak perkukuh ummah, institusi pondok jadi teras

- Advertisement -

KUALA NERUS: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad menegaskan bahawa kekuatan dan perpaduan ummah bergantung kepada empat tonggak utama yang mesti diperkasakan secara seimbang dalam masyarakat.

Menurut beliau, empat tonggak tersebut ialah kewujudan ulama berilmu, keadilan pemimpin, kemurahan golongan kaya serta doa golongan miskin yang menjadi asas kukuh dalam membina tamadun.

- Advertisement -

“Empat perkara ini mesti disatukan dalam masyarakat kita mahu kukuh, berpadu dan berjaya membina tamadun yang hebat sebagaimana ditunjukkan pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin,” katanya.

Beliau menjelaskan, peranan ulama amat penting sebagai pewaris nabi yang menjadi rujukan masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan, khususnya dalam hal ehwal agama.

“Ulama bukan sekadar berilmu, tetapi mesti menguasai pelbagai cabang ilmu agama dan mempunyai sifat takut kepada Allah SWT. Mereka menjadi panduan dalam memastikan masyarakat berada di landasan yang benar,” ujarnya.

Tambah beliau, tonggak kedua iaitu keadilan pemimpin menjadi penentu kepada kestabilan sesebuah negara.

“Jika pemimpin tidak adil, maka rosaklah sistem kehidupan sama ada dari sudut ekonomi, sosial mahupun perpaduan masyarakat,” katanya ketika berucap dalam program Malam Melayu Berselawat sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke 5, di sini.

Sementara itu, beliau berkata, golongan kaya pula memainkan peranan melalui sifat pemurah dan keprihatinan terhadap masyarakat, termasuk menunaikan zakat serta membantu golongan memerlukan.

“Islam mewajibkan zakat sebagai mekanisme agihan kekayaan supaya tidak berlaku jurang yang besar dalam masyarakat,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Menurutnya lagi, tonggak keempat iaitu doa golongan miskin, khususnya yang soleh, tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadi antara sebab turunnya pertolongan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa institusi pondok merupakan antara elemen penting yang menyokong kekuatan tonggak tersebut, khususnya dalam melahirkan generasi ulama dan masyarakat berilmu.

“Institusi pondok adalah teras kekuatan masyarakat. Ia merupakan sistem pendidikan yang teguh dalam melahirkan alim ulama serta membentuk kefahaman agama yang mendalam,” katanya.

Tambah beliau, kehadiran tok-tok guru pondok dan para pelajar dalam program tersebut membuktikan peranan besar institusi itu dalam memperkukuh perpaduan ummah.

“Program seperti ini menghimpunkan ulama, pelajar pondok dan masyarakat, sekali gus menguatkan lagi kesatuan dalam mempertahankan kebenaran dan menolak kebatilan,” katanya.

Pada program itu juga turut berucap ialah guru-guru pondok dari Malaysia dan Indonesia seperti Tuan Guru Syeikh Muhammad Zainul Asri dan Haji Faisal Ali Abu Sibreh. – HARAKAHDAILY 3/4/2026

- Advertisement -