
KUALA NERUS: Kejayaan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuktikan bahawa kecemerlangan seimbang antara sukan dan akademik bukan sekadar slogan, sebaliknya realiti yang dicapai anak muda negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, beliau berkesempatan mengadakan pertemuan ringkas bersama sebahagian daripada 186 atlet SUKMA yang menduduki peperiksaan tersebut di Raia Hotel & Convention Centre Terengganu, semalam.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahaya serta Setiausaha Agung Majlis Sukan Sekolah Negeri Terengganu, Khairul Azman Adenan.
Menurut beliau, walaupun majlis tersebut berlangsung secara sederhana, ia tetap membawa makna besar sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen dan pencapaian cemerlang para atlet berkenaan.
“Kerajaan negeri menzahirkan kebanggaan dengan kejayaan mereka walaupun sebelum ini terpaksa berdepan jadual latihan yang padat.
“Atlet-atlet ini bukan sahaja menyerlah di arena sukan, malah turut membuktikan keupayaan mereka dalam bidang akademik,” ujarnya.
Antara yang mencuri perhatian ialah atlet pelari pecut negeri, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira yang memperoleh keputusan 3A+ dan 6A, manakala atlet bola sepak, Putra Muhammad Isqandar Rizmarizam meraih 1A+, 4A dan 3A-.
Hishamuddin menegaskan, pencapaian tersebut mencerminkan disiplin tinggi, daya saing serta keupayaan luar biasa atlet dalam mengimbangi tuntutan latihan dan pelajaran.
“Ini adalah contoh anak muda yang tidak mudah mengalah dan sentiasa berusaha mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.
“Saya yakin mereka mampu melangkah lebih jauh serta terus mengharumkan nama Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2026











