Hukuman mati tahanan Palestin, bukti Israel makin kejam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Parlimen Israel (Knesset) meluluskan undang-undang hukuman mati mandatori terhadap tahanan Palestin yang didapati bersalah dalam serangan bersenjata pada 30 Mac , disifatkan sebagai bukti jelas kezaliman rejim Zionis yang semakin terserlah.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, langkah itu menunjukkan rejim berkenaan tidak lagi berselindung di sebalik prinsip demokrasi, sebaliknya bertindak melangkaui batas kemanusiaan sejagat.

- Advertisement -

Beliau berkata, undang-undang tersebut bukan sahaja bersifat menindas, malah dilihat sebagai usaha sistematik untuk mengabsahkan tindakan genosid terhadap rakyat Palestin melalui saluran perundangan mereka sendiri.

“Pelaksanaan hukuman mati dalam tempoh hanya 90 hari turut menutup ruang keadilan sebenar, termasuk peluang rayuan oleh tahanan.

“Ini merupakan satu bentuk jenayah perang yang sangat keji dan wajar dikutuk sekeras-kerasnya,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial.

Hanif menegaskan bahawa tindakan tersebut hanya akan memburukkan lagi ketegangan di Asia Barat yang sedang bergolak, malah diibaratkan seperti mencurah minyak ke dalam api.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak agar bangkit menggunakan segala kuasa yang ada untuk menentang kezaliman tersebut, termasuk melalui tekanan ekonomi, sekatan diplomatik dan pemulauan menyeluruh terhadap rejim Israel.

“Nyawa lebih 9,300 rakyat Palestin, termasuk kira-kira 350 kanak-kanak dan 66 wanita yang kini berada dalam tahanan, perlu dilindungi serta diberikan keadilan sewajarnya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar segala bentuk kezaliman terhadap rakyat Palestin dapat dihentikan dan pelakunya menerima pembalasan yang setimpal.

Terdahulu, Parlimen Israel (Knesset) pada Isnin malam meluluskan, dalam bacaan kali kedua dan ketiga, satu undang-undang yang memperuntukkan hukuman mati terhadap tahanan Palestin, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Undang-undang itu diluluskan dengan 62 anggota menyokong, 48 menentang dan seorang berkecuali.

Rang undang-undang berkenaan diusulkan oleh anggota Knesset, Limor Son Har-Melech dan diperjuangkan oleh Menteri Keselamatan Israel berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir.

Minggu lalu, Jawatankuasa Keselamatan Negara Knesset telah meluluskan draf perundangan tersebut yang menetapkan hukuman mati terhadap rakyat Palestin yang disabitkan kesalahan melakukan serangan sehingga menyebabkan kematian warga Israel, sebelum dibawa ke dewan untuk kelulusan muktamad. – HARAKAHDAILY 3/4/2026

- Advertisement -