
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff menegaskan bahawa jika sesuatu perbuatan itu diketahui hampir pasti membawa maut, maka undang-undang perlu memperlakukannya sebagai kes pembunuhan, bukan sekadar kecuaian.
Menurutnya, negara tidak boleh terus berkompromi dengan jenayah yang berulang dan meragut nyawa, khususnya melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Beliau mengulas mengenai insiden yang mengorbankan seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang baru-baru ini, yang menurutnya tidak boleh dianggap sebagai kemalangan jalan raya biasa.
“Ia adalah akibat tindakan melampau seorang individu yang sedar dirinya berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah, namun tetap memilih untuk memandu secara berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan media di laman sosial.
Beliau berkata, dalam kerangka undang-undang jenayah, perbuatan sedemikian boleh diklasifikasikan di bawah Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan, iaitu melakukan perbuatan yang amat berbahaya dan diketahui hampir pasti menyebabkan kematian, sekali gus membolehkan pertuduhan di bawah Seksyen 302 dikenakan.
Dalam pada itu, Dr Yusfarizal turut menjelaskan bahawa walaupun kebiasaannya kes pemandu mabuk didakwa di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda serta hilang kelayakan lesen, pendekatan tersebut kini dilihat tidak lagi setimpal dengan kehilangan nyawa.
“Dalam beberapa kes sebelum ini, pertuduhan juga pernah dibuat di bawah Seksyen 302, antaranya melibatkan kes di Kuantan pada tahun 2020.
“Namun, pembuktian bagi kes bunuh adalah lebih tinggi kerana perlu menunjukkan sama ada wujud niat atau pengetahuan bahawa perbuatan itu hampir pasti membawa maut,” ujarnya.
Tambah beliau, PAS Selangor berpandangan bahawa individu yang memandu dalam keadaan mabuk sememangnya mempunyai ‘pengetahuan’ bahawa tindakannya berisiko tinggi menyebabkan kematian.
“Analogi mudahnya seperti membaling objek berat dari tempat tinggi ke kawasan awam atau melepaskan tembakan rambang.
“Walaupun tiada niat khusus untuk membunuh, pelaku mengetahui kemungkinan kematian adalah hampir pasti,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kes sebegini bukan sekadar angka statistik, sebaliknya melibatkan kehilangan seorang suami, ayah dan pencari nafkah utama kepada sebuah keluarga.
Katanya, desakan keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan mencerminkan kegagalan sistem sedia ada dalam memberikan keadilan yang sebenar, selain hukuman ringan dilihat tidak lagi memadai.
“Nyawa tidak boleh dinilai hanya dengan denda atau hukuman penjara tanpa elemen keinsafan dan pencegahan yang tegas,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Yusfarizal berkata PAS Selangor menyatakan sokongan terhadap siasatan dan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kes yang memenuhi elemen undang-undang.
“Mereka turut mendesak pihak pendakwa raya menggunakan budi bicara secara lebih tegas dalam kes melibatkan kecuaian melampau, selain menggesa pindaan undang-undang bagi mengklasifikasikan pemanduan mabuk yang menyebabkan kematian sebagai jenayah berat setara pembunuhan.
“Pada masa sama, beliau menekankan keperluan pendekatan menyeluruh termasuk kawalan lebih ketat terhadap penjualan alkohol serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan,” jelasnya.
Terdahulu tertuduh, Saktygaanapathy Ravichandran, 28, didakwa menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33, dalam kejadian kira-kira jam 11.47 pagi pada 29 Mac lalu di Jalan Raya Barat, Klang.
Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Bagi kesalahan itu, tertuduh mengaku bersalah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini, manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin. – HARAKAHDAILY 2/4/2026











