Karnival Alam Melayu jadi titik tolak kebangkitan ummah

- Advertisement -

KUALA NERUS: Karnival Alam Melayu dan Ketamadunan Islam 2026 diharap tidak sekadar menjadi medan perhimpunan masyarakat, sebaliknya mampu menjadi titik tolak kepada kebangkitan ummah yang lebih berwibawa, matang dalam mengurus perbezaan serta teguh jati diri.

Pengarah program, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penganjuran karnival selama tiga hari bermula hari ini hingga 4 April itu merupakan langkah strategik Kerajaan Negeri Terengganu dalam mendepani cabaran perpecahan ummah dan arus globalisasi yang semakin mencabar.

- Advertisement -

“Berteraskan tema ‘Satu Ummah’, program ini memberi penekanan kepada usaha memperkukuh ukhuwah merentasi sempadan geografi, mengukuhkan jati diri berasaskan tradisi Alam Melayu yang disulami nilai Islam yang tinggi, serta merumuskan penyelesaian praktikal khususnya dalam aspek ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Alam Melayu dan Ketamadunan Islam 2026 yang berlangsung di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Menurutnya, sepanjang penganjuran karnival tersebut, pelbagai pengisian ilmiah dan kerohanian disusun termasuk empat sesi Persidangan Meja Bulat Alam Melayu, pameran jualan serta aktiviti lapangan yang menampilkan keunikan dan kehebatan tamadun Alam Melayu.

Katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, program itu turut diserikan dengan penganjuran Malam Melayu Berselawat sebagai usaha menyuburkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran program berkenaan termasuk Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Sekretariat Unit Tubuh Pejabat Menteri Besar Terengganu, Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, agensi kerajaan serta para sukarelawan.

“Sesungguhnya, tanpa kerjasama erat dan semangat berpasukan daripada semua urusetia agensi, program yang penuh bermakna ini tidak mungkin dapat direalisasikan dengan sempurna,” katanya.

Untuk rekod, karnival berkenaan menghimpunkan penyertaan peserta dan pempamer dari beberapa negara serantau termasuk Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam. – HARAKAHDAILY 2/4/2026

- Advertisement -