Harga minyak naik: Kerajaan digesa beri perinci penjelasan

- Advertisement -

KUALA NERUS: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Seri Dr Shahidan Kasim menggesa kerajaan memberi penjelasan terperinci berhubung kenaikan harga minyak yang dilihat semakin membebankan rakyat ketika ini.

Beliau berkata, kenaikan harga bahan api berlaku dalam keadaan negara merupakan pengeksport minyak yang sepatutnya memberi kelebihan kepada rakyat dari segi kos sara hidup.

- Advertisement -

“Kita mengeksport minyak dengan keuntungan berbilion ringgit, namun rakyat masih berdepan kenaikan harga bahan api yang membebankan.

“Persoalan timbul apabila harga minyak meningkat seawal hari ketiga konflik, walaupun situasi seperti di Selat Hormuz berubah-ubah.

“Jadi rakyat berhak mendapat penjelasan yang telus dan kronologi sebenar daripada kerajaan, khususnya Perdana Menteri, mengenai faktor kenaikan tersebut agar tidak timbul persepsi bahawa keadaan semasa diambil kesempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Alam Melayu dan Ketamadunan Islam 2026 yang berlangsung di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan kerajaan menggunakan hasil negara untuk menampung subsidi minyak bagi mengurangkan tekanan kos hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Ketika rakyat berdepan kesukaran hidup, peruntukan besar kepada ahli Parlimen kerajaan wajar dinilai semula. Sekiranya perlu, pemotongan peruntukan tersebut harus disalurkan terus kepada rakyat yang lebih memerlukan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu menumpukan kepada langkah merangsang ekonomi domestik termasuk memperkasakan sektor perniagaan kecil dan pelaburan dalam pendidikan sebagai strategi jangka panjang.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Arau, dalam keadaan ekonomi tidak menentu, pendekatan menyokong aktiviti ekonomi kecil mampu membantu meningkatkan pendapatan rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerajaan perlu bijak mengimbangi antara pelaburan besar dan sokongan kepada peniaga kecil supaya ekonomi terus bergerak dan rakyat tidak terbeban,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan anggaran harga runcit tanpa subsidi bagi tempoh 2 hingga 8 April 2026 menunjukkan diesel di Semenanjung Malaysia diunjurkan meningkat kepada RM6.02 seliter.

Harga RON97 tanpa subsidi pula menurun kepada RM4.95 seliter berbanding RM5.15 sebelum ini, manakala RON95 kekal pada kadar RM3.87 seliter.

Harga diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta bagi pengguna di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter. – HARAKAHDAILY 2/4/2026

- Advertisement -