Hamzah dinasihat sertai PN perkukuh kestabilan politik

Susulan dikatakan mahu menubuhkan parti politik baharu

- Advertisement -

KUALA NERUS: Hasrat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menubuhkan parti baharu dilihat sebagai langkah baik, namun perlu disusuli dengan penyertaan dalam gabungan pembangkang yang kuat bagi memastikan kelangsungan dan pengaruh politik lebih kukuh.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Seri Dr Shahidan Kasim berkata, secara asasnya Hamzah mempunyai dua pilihan utama iaitu menyertai parti sedia ada yang telah kukuh iaitu PAS atau menubuhkan parti baharu.

- Advertisement -

“Pada pandangan saya, beliau boleh memilih sama ada masuk parti yang sudah ‘established’ seperti PAS atau menubuhkan parti baharu. Namun, nampaknya beliau memilih untuk menubuhkan parti sendiri dan itu juga satu pilihan yang baik.

“Parti baharu tidak boleh berdiri sendiri dalam tempoh singkat kerana belum ada asas kukuh. Ia perlukan masa, kecuali jika wujud gelombang sokongan rakyat yang kuat. Namun, langkah paling tepat untuk mengukuhkan kedudukannya ialah dengan menyertai gabungan politik yang lebih besar dan stabil.

“Dalam konteks semasa, antara gabungan pembangkang yang dilihat paling kuat ialah Perikatan Nasional. Sekiranya parti baharu ini dapat bersama dengan Perikatan Nasional, ia merupakan pilihan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Alam Melayu dan Ketamadunan Islam 2026 yang berlangsung di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, penyertaan dalam gabungan pembangkang juga lebih selari dengan imej Hamzah yang dilihat sebagai tokoh dalam blok berkenaan.

“Beliau juga boleh memilih untuk menyertai kerajaan, tetapi imej beliau adalah pembangkang. Jika bersama kerajaan, beliau akan berdepan dengan kami, tetapi jika bersama PN, beliau akan berada dalam blok yang sama,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PN Perlis turut mengingatkan bahawa kuasa adalah bersifat sementara dan setiap pemimpin perlu berpegang kepada prinsip serta tidak alpa dengan kedudukan yang dimiliki.

“Kuasa ini pinjaman daripada Allah SWT. Ia boleh berubah seperti roda, jadi pemimpin perlu sentiasa merendah diri dan berpegang kepada prinsip,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Parti baharu yang bakal diterajui Hamzah akan memohon menyertai PN selepas penubuhannya diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

Bekas Ketua Bahagian Parti BERSATU Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, langkah itu bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan parti itu, tetapi juga PN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang – HARAKAHDAILY 2/4/2026

- Advertisement -