Anak istimewa perlu disantuni, bukan disisihkan

Hasil karya anak Mohamed Sukri Omar, sempena Autism Awareness Day.
- Advertisement -

SHAH ALAM: Sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut pada 2 April, masyarakat diseru agar melihat isu autisme dengan perspektif lebih luas, penuh empati dan tanggungjawab.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar menegaskan bahawa anak-anak autisme bukan kelompok yang wajar dipinggirkan, sebaliknya merupakan amanah dengan keistimewaan tersendiri.

- Advertisement -

“Mereka bukan sahaja memerlukan perhatian, malah turut mengajar nilai penting seperti kesabaran, keikhlasan dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial, hari ini.

Beliau menekankan bahawa sebuah negara yang benar-benar maju tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal atau kemajuan teknologi, tetapi berdasarkan sejauh mana ia memuliakan golongan yang memerlukan sokongan dan pembelaan.

“Kesedaran tentang autisme tidak boleh terhenti pada slogan atau simbol semata-mata. Ia mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang nyata,” ujarnya.

Sukri turut mendedahkan beberapa langkah penting yang perlu diberi perhatian, termasuk memperkukuh sistem pendidikan yang lebih inklusif, meningkatkan sokongan kepada ibu bapa, memperluas akses terapi serta membina masyarakat yang lebih memahami dan tidak cepat menghukum.

Beliau menegaskan bahawa usaha membela golongan istimewa ini dengan penuh ihsan dan hikmah merupakan asas penting dalam membina negara yang lebih berperikemanusiaan, adil dan diberkati.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk bersama-sama menjadi suara bagi golongan yang sering tidak difahami, selain menjadi sumber kekuatan kepada keluarga yang sedang berjuang membesarkan anak-anak autisme.

“Autisme mesti difahami.

“Anak-anak istimewa ini bukan untuk disisihkan.

“Mereka perlu disantuni, dibimbing dan diberi masa depan yang bermaruah,” katanya.

Terdahulu, Hari Kesedaran Autisme Sedunia merupakan satu inisiatif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam memahami penghidap autisme yang disambut pada 2 April setiap tahun.

Autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) merupakan suatu gangguan neurologi di otak yang mempengaruhi perkembangan pemikiran kanak-kanak yang mengganggu komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku dalam menjalankan aktiviti seharian. – HARAKAHDAILY 2/4/2026

- Advertisement -