
TULAR di media sosial dakwaan bahawa hadis berkaitan kaum Parsi adalah lemah, lalu digunakan untuk menolak sebarang kaitan antara kelebihan kaum tersebut dengan realiti hari ini.
Dakwaan ini perlu diperbetulkan secara ilmiah agar tidak berlaku kekeliruan dalam memahami nas dan sejarah umat.
1. Status hadis: Sahih, bukan lemah.
Antara hadis yang sering dipetik ialah sabda Nabi SAW:
لَوْ كَانَ الإِيمَانُ عِنْدَ الثُّرَيَّا، لَنَالَهُ رِجَالٌ مِنْ هَؤُلَاءِ
“Sekiranya iman itu berada di bintang al-Thurayya, nescaya akan dicapai oleh lelaki-lelaki daripada kalangan mereka (orang Parsi).” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari, no. 4897; Imam Muslim, no. 2546)
Hadis ini jelas diriwayatkan dalam dua kitab paling sahih dalam tradisi Islam, iaitu Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Oleh itu, dakwaan bahawa hadis ini lemah adalah tidak tepat dari sudut disiplin ilmu hadis.
Adapun riwayat lain yang dikaitkan dengan ayat:
وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ
“Jika kamu berpaling, Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain…”
Memang terdapat perbahasan sanad, namun ia tidak menafikan kewujudan hadis sahih lain yang menyebut kelebihan kaum Parsi secara jelas.
2. Maksud hadis: Bukan asabiah bangsa.
Hadis ini tidak bermaksud mengangkat satu bangsa secara mutlak atau merendahkan bangsa lain, firman Allah:
إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)”. (Surah al-Hujurat 13)
Sebaliknya, ia menunjukkan satu prinsip penting iaitu Islam tidak terikat kepada satu kaum. Sejarah membuktikan perkara ini.
Selepas era Arab, kepimpinan dan keilmuan umat dipikul oleh pelbagai bangsa:
a. Bangsa Parsi melahirkan ramai ulama besar seperti Imam Abu Hanifah dan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali.
b. Bangsa Turki membina Khilafah Uthmaniyyah.
c. Bangsa Melayu dengan usaha dakwah dan ilmu Islam di Asia Tenggara.
d. Bangsa Kurdi melahirkan tokoh seperti Sultan Salahudin al-Ayubi.
Ini selari dengan sunnatullah bahawa sesiapa yang memikul amanah agama, dialah yang akan dimuliakan.
3. Dalil lebih tegas: Al-Quran.
Lebih kuat daripada hadis tersebut ialah firman Allah SWT:
إِلَّا تَنفِرُوا۟ يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًۭا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْـًۭٔا ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌ
“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Taubah ayat 39)
Ayat ini bersifat umum. Ia tidak menyebut Arab, Parsi atau mana-mana bangsa secara khusus.
Maknanya jelas iaitu mana-mana umat yang meninggalkan tanggungjawab berjihad di jalan Tuhan, ia akan digantikan oleh Allah.
4. Isu Iran: Antara fakta dan generalisasi.
Mengaitkan hadis kelebihan kaum Parsi secara terus dengan Iran hari ini tidak semestinya tepat, tetapi menolaknya terus juga tidak benar.
Iran ialah negara moden dengan sistem politik tersendiri, termasuk konsep Wilayah al-Faqih. Namun, istilah ‘Parsi’ dalam hadis merujuk kepada tamadun dan bangsa yang lebih luas, bukan hanya sebuah negara moden.
Dalam masa yang sama, tidak dapat juga dinafikan bahawa majoriti rakyat Iran adalah berbangsa Parsi, dan identiti Iran hari ini memang berkait rapat dengan bangsa tersebut.
Justeru, kritikan terhadap dasar politik Iran adalah harus, tetapi tidak wajar sampai menolak hadis sahih mengenai kelebihan sesuatu kaum.
5. Ukuran sebenar: Siapa membela agama.
Dalam menilai kedudukan sesuatu kelompok, Islam menetapkan neraca yang jelas. Sabda Nabi SAW:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ
“Sentiasa ada dalam kalangan umatku satu kelompok yang zahir di atas kebenaran. Mereka tidak dimudaratkan oleh sesiapa yang mengecewakan mereka, sehinggalah datang ketentuan Allah, dan mereka tetap dalam keadaan demikian.” (Hadis Riwayat Imam Muslim, no. 1920)
Dalam beberapa riwayat lain, dinyatakan bahawa kelompok ini berada di sekitar Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya.
Hadis ini memberikan satu kompas akhir zaman dan prinsip penting iaitu ukuran kebenaran tidak ditentukan oleh bangsa, negara atau slogan, tetapi oleh pendirian terhadap agama dan keadilan.
Antaranya:
a. Siapa yang benar-benar mempertahankan agama.
b. Siapa yang membela umat yang dizalimi.
c. Siapa yang istiqamah dalam perjuangan Jihad (khususnya dalam isu Palestin).
Persoalan yang wajar ditanya ialah, sejauh mana komitmen sebahagian pemimpin dunia Islam (khususnya bangsa Arab) hari ini dalam membela Palestin?
Realiti menunjukkan bahawa terdapat pihak ini yang:
a. Membenarkan kehadiran Ahzab Moden dan pengaruh kuasa asing di tanah air umat Islam (seperti membina pangkalan tentera).
b. Turut sama melabel gerakan pembelaan Palestin dengan istilah ‘pengganas’ atau ‘Irhabi’.
c. Lebih cenderung kepada kepentingan sendiri berbanding membela keadilan.
Justeru, persoalannya bukan sekadar siapa mereka, tetapi di pihak manakah mereka berdiri.
6. Kesimpulan.
Hadis mengenai kaum Parsi adalah sahih dan tidak boleh ditolak secara mudah. Namun, ia juga tidak boleh disalah tafsir menjadi alat asabiah atau propaganda politik.
Hakikat yang lebih besar ialah Islam tidak bergantung pada mana-mana bangsa. Sesiapa yang memikul amanah agama, dialah yang akan diangkat oleh Tuhan dan sesiapa yang berpaling, pasti akan dihina.
Inilah sunnatullah yang berulang sepanjang sejarah umat. Wallahua’lam.
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 30/3/2026
Bacaan tambahan:
[1] https://www.facebook.com/share/18PyuZ8zeQ/
[2] Iran tanah air Islam: Wajib dipertahankan bersama
https://harakahdaily.net/2026/02/16/iran-tanah-air-islam-wajib-dipertahankan-bersama/
[3] Akidah Imāmah Shī`ah dalam Konteks Doktrin Wilāyah al-Faqīh Khomeini: Suatu Analisis Simbiotik
https://ejournal.um.edu.my/index.php/afkar/article/view/5687
[4] Why does Saudi Arabia describe HAMAS as a terrorist organisation?
https://www.google.com/amp/s/www.middleeastmonitor.com/20180309-why-does-saudi-arabia-describe-hamas-as-a-terrorist-organisation/%3famp
[5] Irsyad al-Hadith Siri ke-473: Hadis Kelebihan Orang Parsi
https://muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=4233:irsyad-al-hadith-siri-ke-473-hadith-kelebihan-orang-parsi&catid=84&Itemid=425&lang=ms
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











