
BARU ini PMX minta rakyat memahami langkah yang diambil Kerajaan dalam menangani kenaikan kos bahan api disebabkan oleh ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Sebenarnya rakyat faham saja. Sekarang ini seluruh dunia sedang berhadapan dengan konflik minyak dan gas disebabkan oleh ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Kos minyak mentah Brent crude yang sebelum ini berada sekitar USD75 setong kini telah melonjak melepasi paras USD110 setong, didorong oleh gangguan bekalan dan kebimbangan terhadap keselamatan laluan tenaga global seperti Selat Hormuz.
Harga minyak RON95, RON97 dan diesel yang diumumkan oleh Kerajaan pada hari ini berada pada paras yang semakin mencengkam rakyat:
Harga 26 March 2026 – 1 April 2026:
RON97: RM5.15 seliter (naik 60 sen)
RON95 (Tanpa subsidi): RM3.87 seliter (naik 60 sen)
RON95 (Bersubsidi atau BUDI95): RM1.99 seliter (dikurangkan 200liter)
Diesel (Semenanjung): RM5.52 seliter (naik 80 sen)
Diesel (Sabah, Sarawak & Labuan): RM2.15 seliter (Kekal)
Rakyat cuba memahami kenapa harga bahan api perlu dinaikkan tanpa kawalan. Mereka mempersoalkan beberapa tindakan dan kenyataan daripada Kerajaan.
Sebagai contoh terdapat kenyataan dari pihak kerajaan melalui Pejabat Perdana Menteri yang dilaporkan oleh Suara Keadilan, yang kata Malaysia import minyak lebih dari eksport.
Ini sebenarnya kenyataan yang mengelirukan dan tak tepat. Kalau kita rujuk data DOSM bagi Q4 2025, angka import vs eksport produk minyak dan gas negara adalah seperti berikut:
Trade by product
Crude petroleum & condensate
Export: RM6.1 billion
Import: RM11.5 billion
Balance: -RM5.4 billion
Refined petroleum products
Export: RM23.9 billion
Import: RM22.7 billion
Balance: +RM1.2 billion
LNG
Export: RM13.6 billion
Import: RM1.6 billion
Balance: +RM12.0 billion
Total trade (Q4 2025)
Total exports: RM43.6 billion
Total imports: RM35.8 billion
Overall balance: +RM7.8 billion (surplus)
Jelas penjelasan Kerajaan Madani bahawa kita net importer minyak dan gas adalah tidak benar. Macam cuba untuk tipu rakyat pun ada.
Apatah lagi Crude oil yang dieksport oleh negara berkualiti dan bernilai tinggi. Berbanding crude oil yang diimport negara adalah yang lebih rendah kualiti dan harga untuk pasaran tempatan. Bila jual dan beli balik mesti akan ada untung besar.
Yang PMX cerita subsidi kerajaan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu, susulan kenaikan harga minyak dunia.
Tapi yang tak diceritakan oleh PMX adalah berapa keuntungan negara akibat daripada kenaikan harga minyak dunia melalui minyak yang kita eksport.
Kan minyak negara kita dibenarkan melalui Selat Hormuz, maknanya dari sudut pendapatan kerajaan jual minyak akan berlipat ganda kerana harga minyak dunia melambung tinggi. PETRONAS untung besar, Kerajaan dapat dividen tinggi.
Kenapa kerajaan tidak salurkan keuntungan tersebut untuk tanggung subsidi buat rakyat?
Apa yang dibuat kerajaan adalah, keuntungan tambahan dia ambil manakala pertambahan kos diserahkan kepada rakyat untuk tanggung. Mana adil macam tu?
Kerajaan bukan tak tahu bila harga diesel naik, akan menyebabkan kesan berantai kepada kos makanan dan keperluan rakyat. Bayangkan sayur yang ditanam oleh petani. Jentera pertanian yang gunakan diesel akan berhadapan kenaikan kos. Kemudian lori yang membawa sayur dari kebun ke pusat pengumpulan. Kemudian dari pusat pengumpulan ke pasar akan ada kenaikan kos.
Bagi satu sayur dari petani ke pengguna sudah menerima 3 kali kenaikkan kos.
Sebab itu rakyat persoal kewajaran Kerajaan Madani melepaskan kenaikkan kos minyak dan gas dunia kepada rakyat. Atau sebagai Kerajaan yang mempunyai kekuatan kewangan dari hasil tambahan kenaikan harga minyak dan gas dunia, Kerajaan perlu ambil tindakan campur tangan mengawal harga minyak negara.
Kerajaan juga tidak perlu terlalu reaktif kepada harga minyak dunia. Kalau harga minyak dunia naik, harga petrol dan diesel naik. Kalau harga minyak dunia turun, harga petrol dan diesel tak pula turun. Harga barang lagilah tak turun. Maka kerajaan perlu berhati-hati dalam nak menaikkan harga minyak negara.
Selain itu timbul rakyat juga persoal apabila PMX umumkan pengurangan Budi RON95 yang dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter sahaja. Alasan PMX adalah kajian mendapati 90 peratus gunakan 200 liter sahaja.
Siapa yang buat kajian tu? Rakyat punyalah tak cukup 300 liter tu. Sebenarnya kerajaan pun tahu rakyat tak cukup. Tapi kerajaan nak juga kurangkan subsidi, kalau naikkan kadar RM1.99 rakyat akan mengamuk. Maka dia gunakan alasan rakyat tak pakai dan kurangkan ke 200 liter. Tapi akhirnya rakyat akan mengamuk juga bila habis 200 liter dan kena isi minyak pakai RM3.87 seliter.
Jadi macam mana Kerajaan nak harapkan rakyat faham?
Atas sebab inilah Pengerusi PN mencadangkan satu Majlis Rundingan dan Intervensi Ekonomi Negara yang bersifat bipartisan diwujudkan bagi membincangkan kemelut ini dengan lebih holistik.
Ketua Pembangkang juga mencadangkan diadakan Sidang Parlimen Khas untuk membincangkan secara menyeluruh krisis ekonomi yang timbul daripada konflik Asia Barat ini.
Sehingga ke hari ini belum ada sebarang respon daripada PMX terhadap cadangan Pengerusi PN dan Ketua Pembangkang itu.
Oleh itu saya nak mendesak Kerajaan Madani untuk mempertimbangkan perkara berikut:
1. Segerakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan krisis ekonomi yang disebabkan konflik Asia Barat.
2. Bentangkan berapa keuntungan tambahan diperolehi oleh Kerajaan disebabkan kenaikkan harga minyak dunia.
3. Kembalikan semula Budi RON95 300 liter.
4. Wujudkan segera Majlis Rundingan dan Intervensi Ekonomi Negara dengan melibatkan bi partisan yang dicadangkan oleh Pengerusi PN.
Mohon pertimbangan PMX dan kerajaan madani.
Salam hormat,
IR TS DR NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi
Lajnah Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 30/3/2026











