
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengesyorkan kerajaan agar menubuh jawatankuasa bi-partisan bagi menangani kesan konflik Timur Tengah dan kenaikan kos sara hidup turut menerima sokongan MUDA.
MUDA menegaskan bahawa isu berkenaan merupakan agenda kenegaraan yang melampaui kepentingan parti atau fahaman politik, memandangkan impak ekonomi yang bakal dihadapi rakyat adalah amat mencabar.
“MUDA menyokong kerjasama bi-partisan dan menyokong pembentukan jawatankuasa melibatkan ahli politik kerajaan dan pembangkang untuk merangka solusi bersama,” ujar kenyataan tersebut.
Dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat pada 27 Mac lalu, parti itu berpandangan perutusan khas Perdana Menteri mengenai isu kos sara hidup dan pemotongan kuota subsidi setakat ini masih belum cukup menyeluruh serta meyakinkan.
“Kerajaan perlu mengambil inisiatif dari pelbagai sudut dan bukan sekadar memotong kuota subsidi semata-mata. Pengumuman tersebut harus diikuti dengan pelan komprehensif kerana ia memberi kesan kepada setiap lapisan rakyat,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, MUDA mengemukakan lima cadangan konstruktif untuk pertimbangan kerajaan antaranya menggesa mempercepat pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) yang dilaporkan baru mencapai 33 peratus setakat 2025.
Parti yang mempunyai seorang wakil di Dewan Rakyat iaitu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mencadangkan pelepasan duti import jangka pendek bagi kenderaan CBU untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
MUDA juga mencadangkan penyelarasan kos cukai jalan bagi kenderaan melebihi 2000cc, khususnya kenderaan komersil, bagi membantu peniaga menangani kenaikan kos operasi memandangkan pemberian kuota subsidi adalah sama rata tanpa mengira kapasiti enjin.
Turut digesa mereka supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membentangkan pelan penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan yang lebih mantap bagi menjamin kestabilan harga barangan keperluan.
MUDA juga menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengumumkan pelan segera bagi mendepani gangguan rantaian bekalan baja akibat penutupan Selat Hormuz yang bakal menjejaskan petani dan harga makanan.
Mereka bagaimanapun mempersoalkan ketiadaan pelan tindakan jelas daripada Menteri-menteri Kabinet lain berhubung isu ini dan menegaskan akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif demi kepentingan negara. – HARAKAHDAILY 29/3/2026











