
KUALA TERENGGANU: Kenaikan harga diesel dijangka terus menekan golongan pesawah apabila kos operasi sawah seperti membajak, menuai dan mengangkut padi semakin meningkat, sedangkan harga padi kekal tidak berubah dan kadar potongan di kilang masih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, tekanan berganda itu berpotensi menyebabkan sebahagian petani berputus asa untuk terus mengerjakan sawah sekiranya tiada langkah penyelesaian segera.
Menurut beliau, sebelum kenaikan harga diesel sekali pun, kos membajak sawah sudah mencecah RM170 seekar bagi jentera berantai dan RM160 seekar bagi jentera tayar, manakala upah menuai pula sekitar RM13 seguni.
“Dengan harga diesel sekarang memang tak dapat dielakkan lagi, upah jentuai pada musim menuai bulan April nanti akan naik dengan mendadak.
“Upah membajak sawah bagi musim baru akan datang juga akan turut naik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, kesan kenaikan diesel bukan sahaja dirasai ketika kerja di bendang, malah turut menambah beban dari segi logistik kerana lori yang menghantar padi ke kilang juga bergantung kepada bahan api tersebut.
Dalam masa yang sama, katanya, petani terpaksa berdepan situasi getir apabila kos pengeluaran meningkat, tetapi harga padi masih tidak naik, selain berdepan kadar potongan yang tinggi di kilang padi.
“Dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung petani sekarang, harga padi pula tak naik dan ditambah dengan kadar potongan yang tinggi di kilang padi, maka yang tinggal untuk petani hanyalah air mata,” ujarnya.
Dr. Azman menegaskan keadaan itu tidak boleh dipandang ringan kerana jika pesawah mula hilang daya tahan untuk meneruskan kerja-kerja di sawah, negara bakal berdepan implikasi lebih besar terhadap jaminan bekalan makanan.
“Saya risau bila air mata ini tak dapat lagi dibendung mengalir, petani akan berputus asa untuk terus mengerjakan sawah.
“Natijahnya, kita akan berhadapan dengan krisis makanan,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan bahawa jentera pembajak dan jentuai yang digunakan dalam sektor pertanian tidak termasuk dalam skop Budi-Agri Madani, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap perlindungan sebenar terhadap golongan pengeluar makanan negara.
Terdahulu, kebimbangan terhadap peningkatan kos dalam sektor pertanian semakin memuncak impak kenaikan harga diesel, khususnya dalam kalangan pesawah yang menjadi tulang belakang kepada bekalan beras tempatan. – HARAKAHDAILY 27/3/2026











