‘Kos melonjak, bekalan makanan terancam’

kenaikan diesel, jika petani tidak dibantu kerajaan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kegagalan kerajaan memberi bantuan mencukupi kepada petani dan pekebun kecil susulan kenaikan kos diesel dikhuatiri akan menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat serta menjejaskan kestabilan bekalan makanan negara.

Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, berkata bantuan tunai RM300 yang disediakan ketika ini tidak mencukupi untuk menampung keperluan sebenar operasi pertanian aktif.

- Advertisement -

Menurut beliau, bantuan tersebut hanya mampu ‘menyamakan’ kos sekiranya penggunaan diesel tidak melebihi 89 liter sebulan, satu jumlah yang disifatkan sebagai tidak realistik bagi kebanyakan petani dan pekebun kecil yang bergantung sepenuhnya kepada bahan api tersebut.

“Bagi sektor pertanian, diesel adalah ibarat oksigen kepada perniagaan mereka. Tanpa sokongan yang adil dan mencukupi, kos operasi akan terus meningkat dan menekan pengusaha kecil di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa peningkatan kos pengeluaran akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna, sekali gus menyebabkan harga barangan makanan melonjak dan membebankan rakyat secara keseluruhan.

Tambahnya, keadaan itu berpotensi mencetuskan krisis bekalan makanan sekiranya pengusaha tidak lagi mampu menampung kos pengeluaran yang semakin tinggi.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan keadilan agihan subsidi diesel kepada petani dan pekebun kecil di Semenanjung yang dilaporkan tidak menerima bantuan secara saksama.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan soalan terbuka kepada Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh, mengenai pihak yang akan memperjuangkan keadilan buat golongan petani dan pekebun kecil yang terjejas.

“Siapakah yang akan memberikan keadilan kepada petani dan pekebun kecil di Semenanjung yang tidak mendapat bantuan subsidi diesel secara adil, sedangkan parti yang diwakili beliau merupakan sebahagian daripada kerajaan hari ini?” soalnya.

Muhammad Faizzuddin menegaskan bahawa kegagalan menangani isu tersebut bukan sahaja menjejaskan kelangsungan sektor pertanian, malah berisiko memberi kesan besar kepada keselamatan makanan dan kestabilan ekonomi rakyat dalam jangka panjang. – HARAKAHDAILY 27/3/2026

- Advertisement -