
IPOH: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria menggesa kerajaan memperluaskan skop BUDI-Agri Madani.
Menurut beliau, ia adalah supaya semua jentera utama pertanian termasuk jentera penuai dan pembajak diberikan kelayakan subsidi diesel secara adil dan munasabah.
“Kerajaan juga perlu segera menyemak semula kadar subsidi membajak dan tuaian agar selari dengan kos sebenar yang ditanggung petani dan pengusaha jentera di lapangan,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian susulan kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen menjadikan harga baharu RM4.72 seliter yang disifatkan memberi kesan langsung kepada rakyat, khususnya petani dan pesawah di Perak.
“Kadar subsidi yang tidak realistik hanya akan menambah beban serta menjejaskan produktiviti sektor pertanian,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam tempoh ekonomi mencabar susulan peperangan di Asia Barat, kerajaan sewajarnya mengutamakan kebajikan rakyat khususnya petani dan pesawah di Perak yang menjadi tulang belakang bekalan makanan negara.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, bantuan bersasar yang lebih berkesan amat diperlukan agar golongan itu tidak terus terbeban.
Razman turut menyeru kerajaan mengemukakan pelan mitigasi yang jelas dan menyeluruh termasuk mekanisme pelaksanaan subsidi yang lebih telus serta mudah diakses oleh golongan sasaran supaya bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
Katanya, krisis global ketika ini menuntut kerajaan bertindak dengan lebih bijak, teliti dan berhemah serta memastikan keputusan ekonomi besar tidak dibuat secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira kesan jangka panjang kepada rakyat dan negara.
Menurutnya, sektor pertanian dan pengeluaran padi di negeri itu bukan sahaja menjadi sumber pendapatan ramai keluarga, malah menyumbang kepada aspek penting keselamatan makanan negara.
Namun, katanya, kenaikan harga diesel itu dijangka menambahkan tekanan kos operasi petani termasuk kos membajak, menuai, mengangkut hasil serta penyelenggaraan jentera yang semakin meningkat.
Beliau berkata, keadaan itu diburukkan apabila banyak jentera pertanian utama seperti jentera penuai, pembajak dan jentera ladang dilaporkan tidak termasuk dalam skop BUDI-Agri Madani.
Keadaan itu ulas beliau menyebabkan sebahagian besar petani dan pengusaha jentera terdedah kepada kos diesel yang meningkat secara mendadak.
”Keadaan ini amat mengecewakan kerana jentera-jentera tersebut merupakan keperluan asas dalam memastikan proses pengeluaran hasil pertanian berjalan lancar,” kesal beliau.
Katanya, dalam keadaan kos input pertanian yang semakin meningkat, kadar subsidi sedia ada iaitu RM160 sehektar bagi membajak dan RM50 sehektar bagi tuaian tidak mencerminkan realiti kos semasa.
Ia jelas beliau termasuk tidak lagi seimbang dengan peningkatan harga diesel, kos alat ganti, upah operator, buruh dan penyelenggaraan jentera.
Razman berkata, kesan kenaikan diesel itu akan memberi tekanan kepada pengusaha jentera dan petani kecil serta berisiko meningkatkan kos pengeluaran padi dan hasil pertanian lain.
“Jika keadaan ini berterusan, ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan petani, malah boleh memberi kesan kepada kestabilan harga makanan dan kos sara hidup rakyat secara keseluruhan,” bimbang beliau.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa kenaikan diesel itu berpotensi mencetuskan kesan domino kepada ekonomi negara apabila peningkatan kos pengangkutan dan pengeluaran mendorong kepada kenaikan inflasi serta melemahkan kuasa beli rakyat.
Dalam masa sama, katanya, tekanan kos itu boleh memberi kesan kepada nilai mata wang serta menambah ketidaktentuan ekonomi.
Selain itu, katanya, kenaikan diesel juga akan menyebabkan kos penghantaran bahan makanan dan barangan keperluan harian meningkat termasuk penghantaran hasil pertanian dari ladang ke pusat pengumpulan, pasar, pemborong dan peruncit.
“Natijahnya, rakyat keseluruhan akan menanggung kesan kenaikan harga makanan dan barang asas yang semakin membebankan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2026











