Jangan sampai Malaysia jadi seperti Colombia

Kes-kes disiasat, didakwa, dihukum atau dibiarkan?

Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff 
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, menempelak tindakan salah guna kuasa membabitkan individu yang dikaitkan dengan PKR.

Beliau berkata demikian susulan penularan video seorang lelaki didakwa mengutip wang ‘perlindungan’ daripada premis rumah urut di Wangsa Maju di sini semalam.

- Advertisement -

Menurutnya, lelaki berkenaan yang dikatakan sebagai ahli PKR yang juga anggota Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengaku mampu memberikan maklumat awal berkaitan operasi penguatkuasaan.

“Lagi menarik, dia boleh janji awal-awal nak bagi ‘info awal’ kalau ada operasi. Patutlah pusat-pusat macam ni hidup subur kat KL… rupanya ada yang jadi payung.

”Yang buat kerja penguatkuasaan penat-penat turun padang, yang diberi kuasa melalui lantikan politik pula jual maruah untuk kepentingan sendiri.

“Ironinya, ini berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang dulu berjanji nak bersihkan negara dari rasuah dan salah guna kuasa,” bidas beliau dalam kenyataan di Facebook miliknya.

Beliau turut merujuk tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh Tseow Suan yang mengarahkan laporan polis dibuat terhadap anggota MPPWP terbabit serta tindakan pemecatan jika dibuktikan bersalah.

“Persoalannya adakah ini sahaja kes yang berlaku? Adakah cukup satu laporan polis sahaja? Sebenarnya insiden ni kebetulan kita tahu sebab ada sebaran rakaman CCTV. Tapi ni bukan kes terpencil tau.

“Siasatlah di bawah dan akan dapati, salah guna kuasa ini berlaku secara sistematik dan telah meresap dalam seluruh pentadbiran Kerajaan Madani,” dedah beliau.

Beliau berkata, PKR yang sebelum ini berkempen menentang rasuah dan salah guna kuasa kini berdepan pendedahan kes demi kes yang menjejaskan integriti dan kredibiliti parti itu.

”Bermula dengan kes setpol (Setiausaha Politik) PMX (Perdana Menteri) dengan (ahli perniagaan), Albert Tei. Alah video ‘pau’ USD lah, Pound Sterling lah.

“Kemudian Setpol Menteri Kewangan dan surat sokongannya. Ditambah pula Ketua Bahagian Wangsa Maju yang dirakam mengakui menerima wang haram daripada PMX secara tunai.

“Semua kes di atas ada tak siasatan, pendakwaan, dan hukuman dijatuhkan?” soal beliau.

Selain itu, beliau turut merujuk pendedahan ahli perniagaan, Victor Chin mengenai dakwaan seorang Ahli Parlimen PKR menerima suapan RM9.5 juta bagi menyelesaikan isu mafia korporat yang turut melibatkan peranan agensi penguat kuasa negara.

“Kini kita dihidangkan dengan ‘perangai’ anggota agensi Kerajaan Madani dan parti Pakatan Harapan yang sudah menjadikan negara kita seperti adegan filem tamil. (adegan orang jahat pergi pau peniaga).

“Kalau kita tidak bertindak sekarang, maka tak mustahil budaya ini akan mengubah menjadikan negara kita lebih teruk seperti Colombia yang dikawal oleh sekumpulan mafia. Selamat? Pastinya tak,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Hannah Yeoh mengarahkan DBKL membuat laporan polis dan siasatan segera susulan video tular yang didakwa menunjukkan ahli MPP meminta wang daripada sebuah pusat urut di Wangsa Maju.

Beliau menegaskan ahli terbabit akan dipecat tanpa kompromi jika dakwaan itu terbukti benar serta menolak sebarang amalan wang perlindungan atau orang tengah.

Orang ramai kata Hannah, digesa menyalurkan maklumat kepada Unit Integriti Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), DBKL dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan siasatan telus dan tindakan tegas diambil. – HARAKAHDAILY 27/3/2026

- Advertisement -