Kemenangan di pusat bermula dari Selangor

- Advertisement -

SEJARAH politik negara memperlihatkan satu pola yang jelas, kejayaan menawan Kerajaan Persekutuan sering kali didahului dengan penguasaan negeri strategik seperti Selangor. Kejayaan gabungan pembangkang menawan Putrajaya pada tahun 2018 tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya dibina melalui kemenangan berterusan di Selangor dalam pilihan raya 2008 dan 2013.

Walaupun ketika itu belum terbentuk secara rasmi sebagai Pakatan Harapan, parti-parti utama yang akhirnya membentuk kerajaan Persekutuan telah pun mengukuhkan tapak mereka di Selangor lebih awal. Ini membuktikan bahawa Selangor bukan sekadar negeri maju, tetapi juga ‘penentu arah’ politik nasional.

- Advertisement -

Justeru, jika Perikatan Nasional (PN) benar-benar berhasrat untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang, usaha menawan Selangor bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan strategik yang mendesak.

Walaupun Selangor hanya mempunyai 22 kerusi Parlimen, sokongan rakyat negeri ini membawa isyarat yang jauh lebih besar. Ia mencerminkan sentimen pengundi di keseluruhan Pantai Barat Semenanjung, kawasan paling padat dan berpengaruh dalam menentukan keputusan nasional.

Sempena Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah, ini adalah masa terbaik untuk PN Selangor melakukan anjakan besar. Perancangan strategik yang tersusun, gerak kerja yang agresif dan pendekatan yang benar-benar menyantuni rakyat perlu digerakkan secara bersepadu bagi meraih keyakinan pengundi.

Pelantikan pengerusi PN Negeri yang baharu susulan peletakan jawatan Pengerusi yang lama harus dilihat sebagai peluang untuk menyuntik nafas baharu. PN mesti tampil dengan hala tuju yang jelas, mesej yang segar serta meningkatkan keupayaan jentera di semua peringkat.

Hakikatnya, selepas pilihan raya lalu, PN Selangor dilihat kehilangan momentum. Jika keadaan ini berterusan, impian untuk menawan negeri ini akan terus menjadi retorik semata-mata. Oleh itu, kepimpinan baharu mesti segera membuktikan keupayaan mereka. PAS sebagai parti teras yang memimpin di peringkat nasional perlu memainkan peranan yang lebih menyerlah.

Rakyat hari ini tidak lagi sekadar menilai retorik politik. Mereka mahu melihat kehadiran yang konsisten, pembelaan yang nyata dan keprihatinan yang berterusan bukan hanya menjelang pilihan raya.

Selangor adalah kunci. Tanpa Selangor, jalan ke Putrajaya akan terus sukar.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor 2015-2019 – HARAKAHDAILY 26/3/2026

- Advertisement -