Warga Harakah dirai Muslimat PAS, Lajnah Kebajikan

Sumbangan Aidilfitri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia serta Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat telah menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada kakitangan Harakah, di sini semalam.

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh serta Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Dr Rosni Adam hadir pada majlis tersebut.
 
Sumbangan tahunan itu sebagai tanda penghargaan dan ingatan tulus ikhlas kepada seluruh warga Harakah yang merupakan jentera penerangan PAS.
 
Ustazah Nuridah dalam ucapannya menyeru agar istiqamah pada peranan dilaksanakan warga Harakah sebagai amalan baik serta sumbangan kepada perjuangan.
 
Beliau juga berharap amalan dilakukan sepanjang Ramadan dapat diteruskan lagi selepas ini agar memberi kesan terbaik kepada kehidupan dunia dan akhirat.
 
“Mudah-mudahan apa yang kita laksanakan semasa Ramadan ini akan dapat kita teruskan untuk 11 bulan lagi dan mudah-mudahan kita akan bertemu lagi dengan penghulu segala bulan pada masa akan datang, insya-Allah,” katanya.
 
Beliau turut menggalakkan semua memperbanyakkan doa, istighfar serta bangun pada waktu malam untuk bermunajat kepada Allah SWT.
 
 “Insya-Allah Allah sangat-sangat suka untuk hamba-hamba-Nya merengek merayu meminta kepada-Nya dan insya-Allah kita tidak akan kecewa dengan Allah SWT.
 
“Mudah-mudahan kita semua akan dimasukkan oleh Allah dalam golongan orang-orang yang berjaya dunia dan akhirat,” harapnya.
 
Sementara itu, Dr Rosni berkata, terdapat hadis Nabi SAW yang boleh dijadikan sebagai motivasi kepada semua dalam melaksanakan tugas membantu masyarakat.
 
Beliau memetik hadis Nabi SAW mengenai empat golongan terlepas daripada azab api neraka, antaranya yang bersifat rendah hati walaupun mempunyai kedudukan.
 
“Golongan kedua ialah yang lemah lembut. Sebab itu (saya) selalu pesan kalau buat kerja kebajikan, jangan sampai orang rasa terhina dengan kebajikan kita.
 
“Biar, kita buat kerja sebenarnya antaranyalah untuk mengangkat darjat manusia itu sendiri,” nasihatnya yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan.
 
Menurutnya, ciri lain ialah mesra dengan masyarakat termasuk memberi salam, selain individu yang memudahkan urusan orang lain.
 
“Jika tidak mampu memiliki keempat-empat sifat itu, sekurang-kurangnya berusahalah untuk mencapai salah satu daripadanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2026

- Advertisement -
- Advertisement -