‘Jika bukan solidariti, tentu digugurkan dari Kabinet’

Susulan kehadiran Timbalan Menteri mengiringi tertuduh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyifatkan kehadiran Timbalan Menteri ke mahkamah mengiringi seorang tertuduh sebagai bukti solidariti kerajaan.

“Tahniah! Jika bukan solidariti, sudah tentu beliau akan digugurkan serta-merta dari Kabinet,” kata beliau menegaskan prinsip berkecuali sewajarnya, namun kini awam melihat sebaliknya kerajaan seperti berpihak.

Beliau berkata demikian merujuk kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, bersama tertuduh, Arumugam Dorasamy di pekarangan mahkamah semalam.

Ustaz Fadhli menambah dengan sinikal bahawa, Timbalan Menteri itu mungkin mempunyai banyak masa lapang kerana tiada aktiviti lain, dan mengisinya dengan mengiringi orang didakwa ke mahkamah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden dalam pada itu turut menyuarakan kebimbangan mengenai persepsi yang timbul daripada kehadiran Timbalan Menteri tersebut. 

Menurut beliau, walau atas apa alasan sekalipun, anggota pentadbiran Kerajaan Madani tidak sepatutnya hadir memberi sokongan pada perbicaraan individu tertentu.

“Hadir mengiringi boleh dianggap seperti hadir memberi sokongan. Maka, timbul persepsi seolah-olah Kerajaan Madani yang diwakili Timbalan Menteri (Undang-undang) memberi sokongan kepada individu yang dituduh, walhal ia tidak semestinya begitu,” tegasnya. 

Beliau menambah bahawa tindakan itu sangat tidak beretika dan memberi tamparan negatif kepada Kerajaan Madani kerana seolah-olah wujud campur tangan Badan Eksekutif dalam urusan Badan Kehakiman.

“Kalau nak jadi peguambela, letak jawatan Timbalan Menteri!” tempelak beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Timbalan Menteri itu tidak sepatutnya hadir bersama Orang Kena Tahan (OKT) kerana ia boleh menggambarkan campur tangan terhadap kehakiman. 

“Seolah-olah ia memberi gambaran kepada Majistret bahawa OKT tidak bersalah, sedangkan belum dibicarakan. Ia juga mungkin menimbulkan kegusaran kepada Majistret,” persoalnya.

Beliau menegaskan bahawa Timbalan Menteri seharusnya menumpukan perhatian kepada tugas beliau sendiri dan membiarkan undang-undang menjalankan prosesnya.

“Sudah nampak perbezaan, seorang dituduh tidak bergari manakala seorang lagi di Kuala Lumpur bergari pula. Ini mungkin implikasi kehadiran YB (M Kulasegaran),” ujarnya.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut sama mempersoalkan tindakan Timbalan Menteri M Kulasegaran itu.

“Wajarkah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri hadir ke mahkamah bersama seorang individu yang dituduh? Kerajaan perlu memberi penjelasan segera,” gesanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2026

- Advertisement -
- Advertisement -