
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menempelak tindakan seorang Timbalan Menteri yang dilihat hadir bersama Orang Kena Tuduh (OKT) dalam kes melibatkan isu sensitif berkaitan bangsa, agama dan raja (3R) di mahkamah semalam.
Menurutnya, sebagai anggota pentadbiran yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang negara, kehadiran bersama tertuduh di mahkamah boleh menimbulkan persepsi tidak sihat terhadap prinsip kebebasan institusi kehakiman.
Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran bersama tertuduh, Arumugam Dorasamy di pekarangan mahkamah semalam.
Manakala dilaporkan bahawa, aktivis Islam, Tamim Dahri Abdul Razak dan Zamri Vinoth dilihat seolah-olah sudah ‘dihukum’ sebelum proses mahkamah bermula dengan memberikan layanan seperti penjenayah berat.
“Walaupun kehadiran tersebut mungkin tidak bermaksud untuk mempengaruhi keputusan mahkamah, ia tetap boleh memberikan gambaran seolah-olah terdapat campur tangan politik dalam proses perundangan.
“Kita harus sentiasa menjaga batas antara kuasa eksekutif dan badan kehakiman. Mahkamah perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan proses perundangan secara bebas tanpa sebarang tekanan atau persepsi bahawa pihak tertentu mempunyai sokongan politik,” ujarnya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, lebih membimbangkan apabila timbul perbandingan dalam layanan terhadap tertuduh yang berbeza dalam kes yang berkaitan isu sensitif.
Beliau berkata, terdapat kes di mana tertuduh hadir tanpa digari dan diiringi oleh seorang pemimpin politik, manakala dalam kes lain tertuduh digari serta diiringi pihak polis.
Menurut Ustaz Idris lagi, situasi itu secara tidak langsung menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai keadilan dan kesaksamaan dalam pelaksanaan undang-undang.
“Dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, semua individu mestilah dilayan sama rata di hadapan undang-undang tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik,” katanya.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak itu berkata, soal 3R adalah isu yang sangat sensitif dan perlu ditangani secara adil serta berhati-hati.
Beliau menegaskan undang-undang tidak boleh dilihat seolah-olah dilaksanakan secara selektif atau berat sebelah terhadap mana-mana pihak.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak dalam kerajaan menghormati proses perundangan dan tidak melakukan tindakan yang boleh menimbulkan persepsi campur tangan terhadap institusi kehakiman.
“Biarlah mahkamah menjalankan tugasnya secara bebas, adil dan telus demi memastikan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara terus terpelihara,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, aktivis Islam itu didakwa atas kenyataan dan tindakan yang mencetuskan provokasi agama serta perkauman.
Zamri didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan mengenai penganjuran perhimpunan di pekarangan Sogo, Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu.
Manakala Tamim didakwa di Mahkamah Majistret Langkawi di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan merosakkan solem suci di Tapak Lama Kuil Sri Maha Muniswarar, Langkawi, Kedah.
Polis turut mendakwa Tamim telah melarikan diri ke Thailand dan usaha sedang dijalankan untuk mengesannya serta membawanya pulang ke Malaysia. – HARAKAHDAILY 18/3/2026











