Perkembangan mutakhir perang Iran – AS – negara haram Israel

- Advertisement -

KERAJAAN Republik Islam Iran mengumumkan bahawa Setiausaha Majlis Keselamatan Tertinggi Nasional Republik Islam Iran, as-Syahid Ali Larijani telah terkorban bersama anak lelaki, pembantu dan pengawal keselamatannya setelah disasarkan oleh tentera udara Amerika Syarikat (AS) dan negara haram Israel di rumah anak perempuannya di daerah Pardis, Tehran.

Awal pagi tadi Tentera Iran atau IRGC dilaporkan melancarkan serangan udara bersepadu menggunakan peluru berpandu dan dron yang disasarkan ke atas:

1.  Pangkalan tentera udara Muawaffaq Salti di Jordan.
2. Pangkalan tentera udara Al-Udeid, Qatar.
3.  Pangkalan tentera udara Al-Dhafra, UAE.
4. Pangkalan tentera udara Ali Al-Salem, Kuwait.
5. Pangkalan tentera udara Prince Sultan, Arab Saudi.
6.  Pusat sokongan tentera udara dan depoh pengisian minyak di Ashdod, negara haram Israel.
7.  Pusat sokongan ketenteraan di pusat industri persenjataan dan ketenteraan syarikat Rafael di negara haram Israel.

- Advertisement -

Tentera Iran atau IRGC terus menghujani negara haram Israel dengan serangan peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan Tel Aviv, Jerusalem, Negev, Dimona, Beit Shemesh, Gush Dan, Holon, Tebing Barat, Nahariya, Ashdod, Naqab dan lain-lain tempat lagi. Serangan ke atas Holon mengakibatkan stesen keretapi Holon mengalami kerosakan teruk. Tentera Iran atau IRGC dilaporkan telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pusat teknologi siber dan pembuatan senjata syarikat Rafael di negara haram Israel. Tentera Iran atau IRGC dilaporkan turut melancarkan serangan ke atas fasiliti nuklear Dimona dan Negev di negara haram Israel.

Tentera Iran atau IRGC terus melancarkan serangan udara dan dron ke atas aset-aset strategik dan pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara Asia Barat seperti Bahrain, UAE, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Jordan dan Erbil di wilayah Kurdistan termasuk pangkalan tentera udara Victoria di Baghdad. Tentera Iran atau IRGC juga telah melancarkan serangan dron ke atas  Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai yang mengakibatkan beberapa letupan besar kedengaran di kawasan lapangan terbang tersebut. Satu serangan dron juga dilaporkan telah dilancarkan ke atas medan gas Shah di Abu Dhabi, UAE menyebabkan kebakaran besar berlaku. Serangan dron oleh tentera Iran atau IRGC telah memusnahkan sistem radar tiga dimensi AN/FPS-117 di lapangan terbang Al-Qusaimah, Arab Saudi.

IRGC mengumumkan bahawa Jeneral Gholamreza Soleiman, Komander Pasukan Basij telah terkorban dalam serangan udara tentera Amerika Syarikat dan negara haram Israel di Tehran.

Tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran dengan menyasarkan aset-aset strategik di Tehran, Shiraz, Isfahan, Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad dan lain-lain tempat lagi.

Tentera udara negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Lubnan dengan menyasarkan Beirut, Khiam, Nabatieh, Kfar Chouba, Madjal Zoun, Harouf, Touline, Qabrikha, Khirbet Selm dan sebahagian besar bandar di Selatan Lubnan.

Hezbullah terus melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara haram Israel dengan menyasarkan serangan ke atas Tel Aviv, Haifa, Galilee, Manara, Taybeh, Kiryat Shmona, Kfar Giladi, Ramat Gan, Asqalan, Margilot, Malkia, Dovev, Netanya dan sebahagian besar wilayah utara negara haram Israel. Hizbullah dilaporkan turut melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera Palmachim di Selatan Tel Aviv.

Kementerian Luar Turkiye dalam kenyataan yang dikeluarkan mengecam serangan dan pencerobohan darat yang dilancarkan tentera penjajah rejim Zionis Israel ke atas Lubnan.

Kumpulan proksi Iran dilaporkan telah melancarkan serangan dron bertali arus ke atas Kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad, Iraq yang mengakibatkan letupan dan kebakaran besar berlaku di kawasan kedutaan tersebut. Satu serangan dron juga dilaporkan telah menyasarkan ibu pejabat syarikat multinational Amerika Syarikat KBR di medan minyak Majnoon di Basra, Iraq.

Reuters melaporkan bahawa beberapa pegawai tertinggi negara-negara Teluk memberitahu bahawa mereka menggangap Iran adalah ancaman jangka panjang dan menggesa Amerika Syarikat untuk menghapuskan IRGC. Financial Times melaporkan bahawa China, Perancis, Italy, Britain, Greece dan Jepun menolak gesaan Donald Trump untuk sokongan ketenteraan bagi membuka Selat Hormuz dan dalam laporan terbaharu menyatakan bahawa Finland dan Jerman juga menolak gesaan Donald Trump.

Seorang pegawai kanan Rumah Putih iaitu Pengarah Pusat Anti Keganasan Kebangsaan Amerika Syarikat, Joe Kent telah meletakkan jawatan berikutan tidak bersetuju dengan Presiden Amerika Syarikat dalam melancarkan peperangan ke atas Iran. Beliau menyatakan bahawa Iran langsung tidak memberi ancaman kepada Amerika Syarikat dan katanya lagi perang ke atas Iran dilancarkan kerana tekanan daripada negara haram Israel dan kumpulan pelobi berpengaruh Amerika Syarikat.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
28 Ramadan 1447H / 18 Mac 2026 – HARAKAHDAILY 18/3/2026

- Advertisement -