PN sedia hadapi PRU, jentera sudah digerakkan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) menegaskan kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jentera parti telah digerakkan lebih awal termasuk di beberapa negeri sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

- Advertisement -

Menurutnya, walaupun berlaku perubahan kepimpinan di Melaka sebelum ini, PN telah mengambil langkah segera melantik kepimpinan baharu bagi memastikan gerak kerja parti berjalan lancar.

“Melaka kita dah lantik orang baharu untuk mengetuai PN iaitu Datuk Dr Radzi Jidin yang juga Pengerusi BERSATU Melaka. Kita sudah gerakkan jentera sepenuhnya dan boleh katakan kita 100 peratus bersedia. Yes, we are ready,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Penggerak PAS Kota Bharu, di sini.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi, beliau menjelaskan PN tidak menjangkakan PRU akan diadakan dalam masa terdekat, namun persediaan tetap berjalan berdasarkan formula sedia ada.

“Formula pembahagian kerusi berdasarkan PRU15 masih relevan dengan sedikit pengubahsuaian. Kita sudah bersedia termasuk dari segi agihan kerusi,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai pelantikan Ketua Pembangkang baharu di Parlimen, Takiyuddin berkata keputusan dijangka dibuat selewat-lewatnya hujung bulan ini atau awal bulan hadapan.

“Calon itu daripada kalangan Ahli Parlimen PAS, namun kita belum putuskan secara muktamad kerana semua layak dan kita akan buat pertimbangan terbaik,” katanya.

Beliau turut menegaskan PN kini bergerak secara kolektif dalam membuat keputusan tanpa bergantung kepada individu tertentu semata-mata.

“Kita bekerja secara kolektif, kita akan pilih siapa yang terbaik dalam kalangan kita untuk memikul tanggungjawab tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2026

- Advertisement -