Harga minyak naik: Pastikan rakyat miskin dibantu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menegaskan, kerajaan perlu bertindak secara berstrategi dengan tadbir urus cekap dan adil terhadap hasil negara, terutama ketika harga minyak global tidak stabil dan mencetus tekanan ekonomi dunia.

Beliau berkata konflik di Timur Tengah, khususnya perang antara Iran dan gabungan Amerika Syarikat serta Israel, telah mengganggu aliran minyak melalui Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan hampir 20 peratus bekalan minyak dunia.

- Advertisement -

“Keadaan ini mendorong harga minyak mentah global melebihi USD100 setong, sekali gus menimbulkan ketidaktentuan pasaran tenaga dan meningkatkan inflasi global,” katanya kepada Harakahdaily.

Nuridah berkata, dalam situasi sebegini, kerajaan perlu memastikan pengurusan hasil negara, termasuk pendapatan daripada sektor tenaga, dilakukan dengan amanah, telus, dan berintegriti.

Jelas bekas Ahli Dewan Negara itu, ia supaya manfaat tersebut dapat dirasai oleh rakyat, khususnya golongan rentan yang paling terkesan akibat kenaikan kos hidup.

Beliau turut menyeru supaya subsidi tersasar diperkuat dan dikawal dengan baik, selain harga barangan asas dan sekuriti makanan perlu dikawal agar inflasi dapat dibendung dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu.

Dalam jangka masa panjang, Nuridah menggesa kerajaan memperkukuhkan ekonomi domestik serta mempelbagaikan peluang pekerjaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil komoditi yang mudah terjejas seperti minyak mentah.

Sehubungan itu, beliau juga menyeru rakyat mengamalkan gaya hidup sederhana dan mengelakkan pembaziran sebagai langkah proaktif menghadapi kos sara hidup yang meningkat.

Malaysia merupakan negara pengeluar minyak yang bergantung sebahagian besar kepada hasil komoditi tenaga untuk menyokong ekonomi negara.

Sejarah menunjukkan bahawa krisis harga minyak dunia, seperti yang berlaku pada 2014-2016, memberi impak besar terhadap pendapatan negara dan kestabilan ekonomi domestik.

Gangguan bekalan global akibat konflik geopolitik turut menambah tekanan terhadap inflasi, nilai ringgit, dan kos hidup rakyat. – HARAKAHDAILY 18/3/2026

- Advertisement -