‘Jawatan jadi ‘lesen besar’ belakangi prosedur polis?’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mempersoalkan sama ada jawatan Timbalan Menteri kini menjadi ‘lesen besar’ untuk membelakangkan prosedur biasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketuanya, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, mempersoalkan perbezaan apabila seorang individu mendapat layanan istimewa, sedangkan individu lain diburu sehingga ke peringkat antarabangsa dan dilayan seperti penjenayah berbahaya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan dikenakan kepada aktivis Islam, Zamri Vinoth yang dibawa dalam keadaan bergari dan dikawal ketat oleh polis, manakala tertuduh, Arumugam Dorasamy hadir tanpa gari.

Arumugam juga dilaporkan diiringi seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran dari DAP.

Ustaz Hafez turut menegaskan agar rakyat tidak diperdaya dengan gambaran kononnya pendakwaan terhadap, Arumugam Dorasamy adalah bukti Kerajaan Madani bertindak adil.

“Hakikatnya, isu ini sepatutnya ditangani secara telus sejak awal lagi, (namun) kerajaan dilihat hanya bertindak selepas menerima desakan hebat daripada orang awam, bukannya atas dasar integriti penguatkuasaan yang konsisten,” ujarnya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa keadilan di negara ini tidak boleh hanya ‘tajam ke bawah, tetapi tumpul ke atas’.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi menyifatkan kebebasan institusi mahkamah dan profesionalisme pihak polis berada pada tahap membimbangkan.

Katanya, kedaulatan undang-undang tidak boleh dinodai demi kepentingan sekutu politik dan keadilan mesti ditegakkan secara saksama tanpa mengira kedudukan mahupun ideologi.

Dalam pada itu, beliau berkata Pemuda PAS Malaysia mengecam layanan dua darjat ketara terhadap Zamri Vinoth dan Arumugam Dorasamy yang kedua-duanya berdepan pertuduhan sama di Mahkamah Majistret.

“Adakah undang-undang kita kini mengamalkan ‘double standard’ mengikut selera politik? Kehadiran anggota pentadbiran di mahkamah memberi sokongan moral kepada Orang Kena Tuduh adalah satu penghinaan kepada prinsip pengasingan kuasa,” tempelaknya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, aktivis Islam itu didakwa atas kenyataan dan tindakan yang mencetuskan provokasi agama serta perkauman.

Zamri didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan mengenai penganjuran perhimpunan di pekarangan Sogo, Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu.

Manakala Tamim didakwa di Mahkamah Majistret Langkawi di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan merosakkan solem suci di Tapak Lama Kuil Sri Maha Muniswarar, Langkawi, Kedah.

Arumugam Dorasamy turut dilaporkan didakwa mengeluarkan kenyataan mengajak protes jalanan berhubung isu melibatkan Zamri Vinoth, dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan. – HARAKAHDAILY 18/3/2026

- Advertisement -