
KOTA BHARU: Madinah Ramadan yang telah memasuki tahun ke-34 penganjurannya terus menjadi antara simbol utama Ramadan di Kelantan apabila mampu menghimpunkan hampir 2,000 jemaah dalam satu-satu masa.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, program berkenaan merupakan acara tahunan anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
Katanya, Madinah Ramadan bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat tempatan, malah turut menarik kehadiran pelancong untuk bersama-sama menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah.
Menurut beliau, dari sudut sejarah, Madinah Ramadan diperkenalkan sejak era pentadbiran bekas Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kekal sehingga kini sebagai antara mercu tanda penting setiap kali tibanya Ramadan di negeri itu.
“Jika ditelusuri semula, program ini bermula secara sederhana di kawasan dataran berhampiran stesen bas di bandar Kota Bharu dengan hanya sebuah khemah kecil bagi menyediakan juadah berbuka.
“Pada ketika itu, makanan disumbangkan oleh peniaga, khususnya lebihan juadah yang tidak habis dijual untuk dikongsi bersama musafir dan orang ramai di Dataran Parit Dalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi sembang santai Perantau Pulang, Kita Raikan, Raya Sakan yang disiarkan secara langsung menerusi segmen Fokus Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan.
Tambahnya, selepas waktu berbuka, program diteruskan dengan pelaksanaan solat berjemaah seperti Maghrib, Isyak dan tarawih sekali gus menjadikannya sebagai pusat ibadah kepada masyarakat.
“Sambutan yang semakin memberangsangkan menyaksikan program ini berkembang daripada sebuah khemah kecil kepada kawasan yang lebih luas sebelum dipindahkan ke Dataran Warisan Stadium yang kini dikenali sebagai Madinah Ramadan,” ujarnya.
Menurutnya, ketika ini Madinah Ramadan berupaya menampung sekitar 2,000 jemaah dalam satu-satu masa.
Namun begitu, jelas beliau, jumlah kehadiran bergantung kepada program yang dianjurkan termasuk kehadiran tokoh tertentu seperti selebriti dakwah yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.
Katanya lagi, penyediaan juadah berbuka yang pada peringkat awal sekitar 1,000 pek sehari kini turut ditingkatkan.
“Jumlah juadah berbuka boleh meningkat sehingga 1,500 pek pada hujung minggu bergantung kepada keperluan serta sumbangan orang ramai,” katanya.
Sambungnya lagi, pelbagai aktiviti turut disusun sepanjang Ramadan yang bukan sahaja tertumpu pada waktu malam, bahkan bermula seawal jam 10 pagi.
“Ia merangkumi program seperti daurah al-Quran, pengajian tafsir, kuliah agama serta penglibatan para asatizah dari seluruh Kelantan.
“Selain itu, turut diadakan program khas melibatkan golongan belia dan muslimat serta forum berkaitan isu semasa termasuk isu antarabangsa seperti Palestin,” jelasnya.
Beliau berkata, setiap malam turut diadakan tazkirah oleh pimpinan kerajaan negeri sebagai pengisian rohani kepada para pengunjung.
Menurutnya, keunikan Madinah Ramadan di Kelantan terletak pada kesinambungan penganjurannya berterusan sejak lebih tiga dekad lalu, sekali gus menjadikannya antara program seumpamanya yang kekal dan menjadi tarikan pelancong.
“Secara keseluruhannya, Madinah Ramadan bukan sekadar lokasi berbuka puasa, sebaliknya berfungsi sebagai pusat ibadah, ilmu dan ukhuwah yang menghimpunkan masyarakat sepanjang Ramadan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2026











