‘Malaysia ‘fasilitasi’ kapal perang AS?’ – Syahir Sulaiman

Isu kapal perang AS: Gesa henti kebenaran berlabuh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menggesa Kerajaan Malaysia menggantung serta-merta kebenaran berlabuh bagi kapal tentera dari negara yang terlibat dalam peperangan serta pelanggaran aktif undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menyemak semula dengan segera semua dasar dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan akses pelabuhan kepada tentera asing, selaras dengan prinsip berkecuali Malaysia.

- Advertisement -

“(Saya) Menuntut ketegasan yang tidak berbelah bahagi di pihak MINDEF (Kementerian Pertahanan), Wisma Putra dan Kerajaan Malaysia dalam menangani konflik di Asia Barat yang menjejaskan prospek keamanan global dan keselamatan serantau,” gesa beliau.

Mohd Syahir berkata demikian susulan kenyataan Menteri Pertahanan bahawa dua kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang berlabuh di Pulau Pinang mematuhi prosedur ditetapkan.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik Presiden PAS berkata, penjelasan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin itu adalah tidak memadai dan amat dikesali.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata, semua kapal tentera laut di seluruh dunia lazimnya singgah di pelabuhan bagi tujuan logistik sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Semalam, Setiausaha Agung Perikatan Nasional menggesa kerajaan memberikan penjelasan berhubung laporan kehadiran aset tentera laut AS di perairan negara yang boleh menimbulkan persepsi bercanggah dengan dasar berkecuali Malaysia.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menegaskan, kehadiran dua kapal perang antaranya kapal penyapu ranjau yang dilaporkan dikaitkan dengan tugasan di Selat Hormuz itu menimbulkan persoalan.

Iaitu pertikainya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, sama ada Malaysia berperanan sebagai pemudah cara atau terlibat secara tidak langsung dalam operasi ketenteraan berkait konflik luar.

Sejak 28 Februari, Amerika Syarikat telah terlibat dalam tindakan ketenteraan terhadap Iran yang dipersoalkan dari sudut kesahihan serta kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa.

“Tindakan Malaysia membenarkan kapal tentera AS berlabuh bagi tujuan logistik, difahamkan tiba pada 14 Mac dan meninggalkan pelabuhan pada 16 Mac (menurut Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang).

“(Ia) memberi gambaran bahawa Malaysia secara tidak langsung terlibat dalam ‘memfasilitasi’ keperluan operasi sebuah negara yang terlibat dalam kancah peperangan yang sedang berlangsung.

“Perkara ini wajar diberi perhatian serius kerana berpotensi menjejaskan kredibiliti Malaysia dalam konflik Asia Barat yang semakin memuncak,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/3/2026

- Advertisement -