
ALOR SETAR: Aduan berkenaan masalah bekalan air di Kedah sejak tiga tahun kebelakangan ini semakin berkurangan, beritahu Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menteri Besar itu berkata, pelan strategi pengurusan sumber air juga telah disiapkan untuk mengatasi peningkatan penggunaan bekalan air terutama menjelang hari perayaan.
“Pelan tu dah siap, kita dah ada ‘booster pump’, tangki dan lain-lain. Kesemua langkah-langkah itu siap seperti yang dijadualkan.
“Kita pun kurang mendengar rungutan berkaitan masalah air sekarang ini,” kata beliau pada sidang media, selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Walau bagaimanapun ujarnya, masih terdapat beberapa tempat yang masih menggunakan perkhidmatan lori untuk penghantaran air bersih.
Namun jelasnya, kekerapan itu tidaklah seperti dahulu, malah pengurangannya juga agak drastik.
Berikutan itu kata Sanusi, kos perbelanjaan untuk menampung penghantaran air bersih ke kawasan bermasalah juga menurun hampir jutaan ringgit.
“Sekarang ini, kita tidak guna lagi perkhidmatan lori dari kontruktor luar, hanya menggunakan lori SADA sahaja. Tapi itupun tak banyak tempat sangat.
“Cuma adalah satu dua tempat yang jauh seperti di Sik yang masih menyewa lori dari pihak luar. Tetapi selebihnya lori SADA sendiri yang beroperasi,” tambahnya lagi.
Justeru kepada mana-mana pihak katanya, yang ingin mengetahui perkembangan dengan lebih terperinci, bolehlah melayari laman portal SADA.
“Sekarang ini, nak ‘complain’ ka, buat aduan ka, boleh buat secara atas talian. Boleh layari website SADA,” ujarnya.
Perkembangan positif berkenaan bekalan air ini katanya, merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyatnya.
“Alhamdulillah, keadaan dapat distabilkan dan SADA sentiasa mempunyai pelannya untuk mengatasi semua situasi di Kedah ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu lagi. – HARAKAHDAILY 18/3/2026











