Terengganu-FELDA akhirnya tamatkan kemelut 40 tahun

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kemelut tuntutan hak milik tanah ladang komersial antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akhirnya menemui titik noktah.

Isu berlarutan selama 40 tahun mencapai penyelesaian muktamad menerusi satu perjanjian bersejarah antara kedua pihak yang diadakan di Kementerian Kewangan (MOF), di sini hari ini.

Majlis Tandatangan Perjanjian Terma-Terma Utama bagi Penyelesaian Tanah Ladang Komersial (Tidak Berpeneroka) termeterai itu menandakan berakhirnya ketegangan pentadbiran.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham mengesahkan FELDA akan mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah mengikut tempoh yang dipersetujui.

FELDA menurut perjanjian itu akan berbuat demikian kepada pihak berkuasa negeri yang sebelum ini telah hampir mengambil tindakan penyitaan susulan kemelut panjang tersebut.

“Kerajaan negeri akan memproses permohonan tersebut bagi pengeluaran hak milik kepada FELDA, tertakluk kepada bayaran premium dan cukai tanah.

“(Ia) selaras dengan Kanun Tanah Negara dan Kaedah-Kaedah Tanah Terengganu 1966,” katanya pada majlis turut dihadiri Exco Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan MOF, Dato’ Johan Mahmood Merican.

Untuk rekod, isu tanah ladang komersial FELDA di Terengganu merujuk kepada kawasan tanah pembangunan yang diuruskan oleh agensi tersebut namun belum mempunyai status hak milik yang tetap.

Ketidakpastian status tanah ini selama empat dekad telah mengekang potensi pengurusan hartanah secara optimum dan sering menjadi subjek perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Penyelesaian menerusi perjanjian bersejarah tersebut dilihat sebagai kejayaan besar diplomasi pentadbiran memandangkan isu ini mencapai tahap kritikal pada akhir tahun 2025.

Sejak Julai 2024, Kerajaan Terengganu secara konsisten menuntut hak ke atas tanah diuruskan FELDA, namun tidak mempunyai status hak milik sah itu, kerana menyebabkan kerugian hasil kepada negeri.

Pada November 2025, kerajaan negeri menegaskan bahawa tidak teragak-agak untuk menyita tanah tersebut sekiranya FELDA terus gagal melunaskan bayaran premium dan cukai yang tertunggak.

Menjelang Disember 2025, situasi semakin tegang apabila kerajaan negeri menyifatkan FELDA melepasi ‘garis merah’ akibat gagal memberikan maklum balas rasmi tuntutan itu, meskipun ruang rundingan diberikan.

Kerajaan negeri bagaimanapun memberikan jaminan bahawa sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas tanah tersebut tidak akan menjejaskan kebajikan para pekerja ladang.

Penjelasan pada Disember 2025 itu dinyatakan Dato’ Dr Azman sebagai untuk memastikan kelangsungan ekonomi komuniti setempat tidak terganggu.

Mohd Azmi dalam kenyataan media menekankan bahawa kerajaan negeri kekal komited untuk memberikan kerjasama terbaik bagi melancarkan proses pemberian hak milik lot-lot tanah terlibat.

Langkah ini sekali gus menstabilkan kedudukan perundangan tanah tersebut, malah bakal merangsang semula produktiviti sektor komoditi di negeri itu yang terbelenggu ketidakpastian status hartanah sebelum ini. – HARAKAHDAILY 18/3/2026

- Advertisement -
- Advertisement -