
ALOR SETAR: Dato’ Seri Muhamad Sanusi Md Nor menegaskan, pihaknya tidak akan sesekali bertindak menggunakan wang kerajaan untuk kegunaan parti, walaupun memikul tanggungjawab sebagai Bendahari Perikatan Nasional (PN) ketika ini.
Menteri Besar berkenaan malah turut menegaskan, budaya ‘mencuri’ wang kerajaan untuk kegunaan parti politik bukan sahaja tidak bermoral sebaliknya membawa implikasi merosakkan negara.
“Terdapat pihak tertentu yang sengaja menaikkan bayaran kontrak kerajaan kerana sebahagiannya digunakan untuk kos serta perbelanjaan pilihan raya.
“Kita tak mahu macam itu. Kita nak hidupkan gaya politik yang sihat di negara ini,” bidas beliau pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Mengulas berkaitan tugas baharunya sebagai Bendahari PN, walaupun banyak pihak mengganggap jawatan itu mudah, namun bagi beliau masih berat kerana di sisi lain.
Kerana ketika ini Dato’ Seri Muhammad Sanusi masih memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, selain beliau juga adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.
“Bendahari ini jaga duit tapi kalau duit tak ada, taklah susah nak jaga.
Lagipun saya dah buat audit akaun PN, sebelum saya mula tugas. Duit PN ada RM2,700 sahaja ketika ini. Duit dalam poket saya ada lebih daripada tu. Jadi taklah susah nak jaga duit tu,” gurau beliau.
Sebelum ini katanya, memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya PN, beliau telah berjaya mengurus kewangan dengan kaedah yang paling baik iaitu melalui derma dan sumbangan orang ramai.
Sungguhpun dalam keadaan serba kekurangan ujarnya, jentera pilihan raya dapat bergerak dengan lancar walaupun dengan dana yang sangat terhad.
“Yang penting kewangan jentera parti masing-masing yang bersama komponen PN bergerak dengan efisien, maka secara ‘automatik’ kewangan PN pun ok.
“Jadi, pakat-pakatlah derma kepada PN seorang sikit, bantu PN menumbangkan Pakatan Harapan (PH) pada PRU16 ni,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Beliau berkata, pernah memaklumkan sebelum ini untuk menghadapi pilihan raya, sekurang-kurangnya RM1 juta diperlukan untuk perbelanjaan bagi satu kerusi parlimen.
“Kalau ada pihak mendakwa jumlah tu banyak, janganlah nak tipu. Kononnya depa nak buat miskin. Kita tahu depa habis lebih daripada itu lagi.
“Saya dengar ada rakan-rakan di parti sebelah sana, habis RM6 juta untuk satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), saya ‘estimated’ satu kerusi parlimen RM1 juta kerana di bawahnya ada dua hingga tiga DUN.
“Jadi kalau nak bertanding 100 kerusi kena sediakan RM100 juta,” jelasnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Sik kepada para pengamal media.
Cuma ujarnya, budaya kerja di dalam PAS agak berbeza kerana duit semuanya ada di poket ahli, yang sentiasa berinfak dari semasa ke sama terutama untuk gerak kerja pilihan raya
“Sekarang ini semua peralatan mahal. Poster dan bahan pilihan raya kosnya semakin meningkat. Tetapi PAS kita tak belanja dalam bentuk duit tunai tetapi dalam bentuk tenaga kerja sukarela.
“Kalau kita kira dan jumlahkan kos-kos itu semua boleh mencecah. RM1 juta, tetapi bila buat secara sukarela dan gotong royong, taklah sampai RM1 juta,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 18/3/2026











