Perarakan LGBT cemar nilai, peranan wanita

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Perarakan atau simbol yang mempromosikan gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada sambutan Hari Wanita Sedunia di Kuala Lumpur baru-baru ini disifatkan mencemarkan semangat sebenar sambutan berkenaan.

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu, Zuraida Muhammad Nor berkata, sambutan Hari Wanita Sedunia sepatutnya diraikan sebagai menghargai peranan dan sumbangan besar wanita dalam pembangunan keluarga, masyarakat serta negara.

Namun menurutnya, tindakan mempromosikan simbol berkaitan gerakan LGBT dalam program tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat kerana bertentangan dengan nilai agama dan adat negara.

“Ia jelas bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan adat kerana Malaysia adalah negara yang berpegang kepada nilai agama, adat ketimuran serta prinsip kekeluargaan yang jelas,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Terdahulu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penganjur himpunan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu di sebuah kompleks beli-belah di sini yang didakwa menghina Islam apabila poster dalam acara itu dikatakan mempromosi gaya hidup songsang LGBT.

Himpunan membabitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak wanita termasuk sebuah parti politik berarak bersama lebih 150 orang peserta hadir dengan memakai pakaian hitam sebagai simbol solidariti terhadap isu hak wanita dan keadilan sosial.

Zuraida berpandangan perkara seperti itu masih berlaku disebabkan beberapa faktor termasuk pengaruh budaya luar yang semakin mudah menular melalui media sosial selain kurangnya kesedaran dalam kalangan sebahagian masyarakat mengenai batas yang telah digariskan oleh agama dan undang-undang negara.

“Dalam masa yang sama, kita juga melihat bahawa ada pihak yang cuba menggunakan platform-program tertentu untuk membawa agenda yang tidak selari dengan nilai masyarakat kita.

“Sebab itu saya berpandangan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan lebih tegas agar perkara seperti ini tidak berulang,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pendekatan yang diambil tidak boleh hanya tertumpu kepada hukuman semata-mata, sebaliknya perlu disertai usaha memperkukuh pendidikan nilai, peranan institusi keluarga serta bimbingan kepada generasi muda.

“Kita perlu memperkukuhkan pendidikan nilai, peranan institusi keluarga serta bimbingan kepada generasi muda supaya mereka mempunyai jati diri yang kukuh dan tidak mudah terpengaruh dengan ideologi yang bercanggah dengan agama dan budaya negara.

“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi nilai agama dan adab dalam masyarakat perlu sentiasa dihormati.

“Sambutan Hari Wanita sepatutnya menjadi ruang untuk mengangkat martabat wanita, memperjuangkan kebajikan mereka serta memperkukuhkan institusi keluarga, bukan menjadi medan untuk mempromosikan agenda yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri menasihatkan masyarakat agar bersama-sama memelihara keharmonian sosial negara dengan sentiasa menghormati nilai agama dan adab dalam kehidupan bermasyarakat.

“Sebagai wakil rakyat, saya berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing bagi memastikan negara kita terus aman, berakhlak dan berpegang kepada nilai-nilai yang telah sekian lama menjadi asas kehidupan masyarakat kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2026

- Advertisement -