
KOTA BHARU: Hijab bukan sekadar pakaian, sebaliknya melambangkan maruah dan identiti wanita Islam yang perlu dipertahankan.
Hijab membawa makna besar kepada seorang Muslimah kerana ia melambangkan tiga perkara utama iaitu menutup aurat, menjaga maruah wanita dan mempertahankan maruah umat Islam.
Selebriti dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin berkata, apabila seseorang wanita memakai hijab atau tudung, ia secara tidak langsung menjadikan mereka duta kepada agama Islam.
“Bila kita pakai hijab atau tudung, maknanya kita adalah duta kepada agama Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sambutan Kelantan Hijab Day yang diadakan di Madinah Ramadan di sini.
Terdahulu, perkongsian pengalaman Ardell mengenai insiden tudungnya direntap tentera Israel ketika menyertai Misi Sumud Nusantara menyentuh hati hadirin sehingga suasana program seketika menjadi sunyi.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika mereka berdepan dengan tentera Israel yang bertindak kasar terhadap peserta misi berkenaan.
“Tudung yang saya pakai ditarik dan direntap oleh tentera Israel sambil mereka ketawa beramai-ramai.
“Mereka betul-betul ingin memalukan wanita Islam. Mereka rasa itu satu kejayaan besar bagi mereka,” katanya.
Beliau mengakui detik tersebut menjadi pengalaman yang sangat memberi kesan kepadanya sebagai seorang Muslimah.
“Kalau saya boleh ulang balik masa, saya nak pertahankan tudung saya. Tak kisahlah kalau mereka ambil nyawa saya sekalipun,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ardell mengingatkan masyarakat agar tidak meletakkan artis sebagai idola kerana mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada ujian kehidupan.
Menurutnya, ramai netizen meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap golongan artis sehingga menjadikan mereka sebagai contoh atau standard tertentu dalam kehidupan.
“Jangan letakkan artis sebagai standard khas. Kalau nampak perubahan yang baik pada mereka, kita bersyukur dan gembira serta doakanlah mereka agar terus istiqamah,” katanya.
Tambahnya, apabila seseorang memilih untuk berhijab, mereka juga berdepan dengan ujian tertentu yang mungkin tidak dilihat oleh orang lain.
“Doakan mereka secara diam-diam. Mereka juga manusia biasa yang sering diuji, cuma bentuk ujian setiap orang tidak sama,” ujarnya.
Sementara itu, selebriti dakwah, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki berkata hijab tidak mengurangkan kecantikan seseorang wanita sebaliknya menjadikan kecantikan wanita lebih bernilai dan dihormati.
“Hijab tidak menjadikan wanita itu kurang cantik, tetapi menjadikan kecantikannya lebih bernilai,” katanya.
Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Rohani Ibrahim serta dihadiri hampir 1,000 kaum wanita termasuk pelajar sekolah.-HARAKAHDAILY 13/3/2026











