
KUALA TERENGGANU: Dua unit rumah di bawah projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PTS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk diserahkan kepada penerima di Kampung Nibong dan Gelong Bilal, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, rumah tersebut dibina khusus bagi membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman yang lebih selesa dan selamat.
Menurutnya, setiap unit rumah di bawah projek berkenaan menelan kos kira-kira RM75,000 bergantung kepada keperluan pembinaan serta perubahan harga bahan binaan semasa.
“Projek rumah ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri melalui program PTS. Bagi DUN Batu Buruk, kita menetapkan sasaran setiap tahun untuk membina rumah kepada rakyat yang memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan rumah berkenaan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau menjelaskan pihaknya memahami terdapat banyak permohonan yang diterima daripada orang ramai.
Namun katanya, rakyat diharapkan dapat bersabar kerana setiap permohonan perlu melalui prosedur dan proses penilaian tertentu.
“Mudah-mudahan pada masa akan datang Allah Taala melimpahkan lebih banyak rezeki kepada kita supaya program ini dapat diperluaskan dan lebih banyak rumah dapat dibina untuk membantu rakyat yang memerlukan, insya-Allah,” ujarnya.
Tambah beliau, pembinaan rumah tersebut mengambil kira keadaan kediaman lama penerima yang uzur dan tidak lagi selamat untuk didiami.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu menyatakan, bagi tahun ini pihaknya menyasarkan pembinaan empat unit rumah PTS di DUN Batu Buruk bagi membantu penduduk yang memerlukan.
“Ini rumah kedua tahun ini dan Alhamdulillah dengan siapnya rumah ni mereka dapat menyambut Hari Raya dengan lebih selesa, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penerima, Sidek @ Amer Awang melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas bantuan yang diterima.
Katanya, sebelum ini beliau bersama keluarga menetap di rumah pusaka yang didiami sejak kecil dengan keadaannya semakin uzur.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan rumah baharu ini. Terima kasih kepada kerajaan negeri yang membantu kami sekeluarga,” katanya yang tinggal bersama empat ahli keluarga termasuk dua anak yang masih bersekolah.
Seorang lagi penerima, pembantu kedai Sakarta Masae turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atas bantuan tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan JPKK kerana membantu menyediakan rumah ini.
“Sudah lama juga menunggu untuk mendapat rumah ini dan akhirnya berjaya memilikinya. Alhamdulillah, sekarang kami tujuh sekeluarga dapat tinggal dengan lebih selesa,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2026











