MAIDAM Goldsmith tapak baharu industri emas Terengganu

Nara (dua dari kanan) pada majlis perasmian MAIDAM Goldsmith di Kuala Terengganu
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penubuhan MAIDAM Goldsmith dilihat sebagai langkah strategik bagi mengangkat semula seni pertukangan emas warisan Terengganu secara lebih tersusun, profesional serta berteraskan prinsip syariah.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Nara Setia Zulkifli Ali berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar membuka premis perniagaan emas, sebaliknya bertujuan membangunkan semula industri pertukangan emas tempatan yang sarat dengan nilai sejarah dan budaya negeri itu.

- Advertisement -

Beliau berkata, MAIDAM Goldsmith beroperasi dengan pendekatan menyeluruh termasuk pematuhan syariah, ketelusan transaksi serta pembangunan bakat tukang emas tempatan.

“Selain itu, ia turut diintegrasikan dengan ekosistem ekonomi MAIDAM seperti perkhidmatan Ar-Rahnu, simpanan emas dan pelaburan emas.

“Kita mahu menjadikannya sebagai pusat kecemerlangan seni pertukangan emas di negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran MAIDAM Goldsmith, Gold Dar Edisi Aidilfitri dan Jualan Rakyat Bergerak di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, selain menjalankan aktiviti komersial, keuntungan yang dijana melalui operasi tersebut akan disalurkan bagi menyokong pelbagai program pembangunan ummah serta aktiviti kebajikan yang dilaksanakan oleh MAIDAM.

“Seperti mana-mana aktiviti komersial yang dilaksanakan oleh entiti berkaitan institusi Islam, ia bertujuan menjana pendapatan mampan. Namun yang lebih penting ialah bagaimana pendapatan itu dimanfaatkan.

“Keuntungan yang dijana akan membantu membiayai program pembangunan ummah dan aktiviti kebajikan yang dilaksanakan oleh MAIDAM.

“Dalam konsep ekonomi Islam, aktiviti perniagaan dan kebajikan tidak dipisahkan, sebaliknya saling melengkapi,” ujarnya.

Tambah beliau, setiap urus niaga emas di premis berkenaan dilaksanakan mengikut garis panduan syariah yang ketat, termasuk aspek ketulenan emas, ketelusan harga serta akad jual beli yang jelas.

Menurutnya, operasi MAIDAM Goldsmith turut dipantau oleh Jawatankuasa Syariah bagi memastikan semua aktiviti perniagaan sentiasa selaras dengan kehendak syarak.

“Pendekatan ini memberi jaminan kepada pelanggan bahawa setiap urus niaga yang dijalankan adalah patuh syariah dan boleh diyakini,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, program Jualan Rakyat Bergerak turut diperkenalkan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup masyarakat dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Menurutnya, pendekatan secara bergerak membolehkan pihak MAIDAM turun terus ke kawasan komuniti seperti masjid dan kawasan perumahan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan tanpa perlu pergi jauh.

Beliau memaklumkan program tersebut akan diperluaskan ke lebih banyak lokasi secara berperingkat susulan sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, MAIDAM Goldsmith diharapkan mampu berkembang sebagai jenama yang diyakini bukan sahaja di Terengganu malah di peringkat nasional.

“Kita mahu ia menjadi pusat kecemerlangan dalam seni pertukangan emas patuh syariah, melahirkan tenaga kerja mahir, membuka peluang pekerjaan serta memperkukuh ekonomi ummah melalui industri emas,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/3/2026

- Advertisement -