Lebih 9,000 bingkisan hari raya untuk pasukan keselamatan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 9,055 anggota pasukan keselamatan yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri pertama di Kelantan bakal menerima bingkisan Hari Raya sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka.

- Advertisement -

Pengerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Kerajaan Kelantan (Purnama), Datin Panglima Perang Datin Wan Nor Hanita Wan Yakub berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menghargai komitmen anggota keselamatan yang tidak dapat bersama keluarga ketika menjalankan tugas pada hari perayaan.

Menurutnya, urusan penyediaan dan pembungkusan bingkisan tersebut diamanahkan oleh kerajaan negeri kepada Purnama melalui operasi khas yang bermula pada 18 Februari lalu.

Katanya, operasi berkenaan turut melibatkan seramai lapan orang amilin Madinah Ramadan bagi memastikan proses penyediaan dan pembungkusan berjalan lancar.

“Bingkisan kuih Aidilfitri ini adalah untuk meraikan dan menghargai pengorbanan pasukan keselamatan yang terpaksa bertugas pada hari raya pertama.

“Bingkisan ini juga sebagai tanda terima kasih kerajaan negeri kepada mereka yang memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya ketika ditemui pada sesi membungkus kuih raya di sini, semalam.

Menurutnya, antara agensi yang menerima bingkisan tersebut termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Markas 8 Briged, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Tambah beliau, turut terlibat menerima sumbangan ialah Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia.

Selain itu, bingkisan juga akan diberikan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia serta beberapa agensi lain.

Beliau berkata, turut menerima bingkisan ialah pusat pemulihan dan penagihan narkotik di Kota Bharu, Bachok dan PUSPEN, selain Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia serta agensi di bawah Majlis Keselamatan Negara.

“Kerajaan negeri berharap sumbangan tersebut dapat menyuntik semangat kepada anggota keselamatan yang terus berkhidmat memastikan keamanan negeri walaupun ketika masyarakat menyambut Hari Raya bersama keluarga,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sumbangan berkenaan akan diserahkan kepada wakil agensi keselamatan pada Khamis, 12 Mac ini di Kota Darul Naim kira-kira jam 9.30 pagi. –HARAKAHDAILY 10/3/2026

- Advertisement -