Serang aktivis: Pihak berkuasa perlu kawal keselamatan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa digesa memantau secara rapi insiden serangan terhadap beberapa individu yang aktif memperjuangkan isu binaan haram selepas berlaku beberapa kejadian menimbulkan ketegangan sejak kebelakangan ini.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, isu berkaitan pembinaan di tapak tidak mendapat kebenaran undang-undang kini melibatkan beberapa individu yang aktif bersuara, antaranya Zamri Vinoth dan S Chandrasegaran.

Menurut beliau, Zamri Vinoth merupakan antara individu terawal mengetuai gerakan berkaitan isu tersebut, manakala Chandra pula dilihat sebagai individu berpengaruh yang kerap membangkitkan perkara itu kepada masyarakat.

Katanya, segala tindakan dilakukan pihak yang terlibat dalam gerakan berkenaan adalah bersandarkan kepada undang-undang, khususnya dalam isu yang berkaitan dengan pelanggaran peraturan serta pembinaan tidak mematuhi ketetapan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, beliau melihat berlaku tindakan balas daripada pihak tertentu dan disyaki melibatkan unsur gangsterisme serta kumpulan ekstremis bagi mempertahankan pihak yang didakwa melanggar undang-undang.

Menurutnya, satu kejadian membabitkan Zamri Venot menunjukkan kenderaannya ditahan dan diserang oleh sekumpulan individu.

“Saya melihat rakaman video kejadian itu yang menunjukkan kira-kira lima hingga enam orang cuba menahan serta memecahkan kereta beliau,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Putrajaya.

Dalam kejadian berasingan, rumah Chandrasegaran yang dikenali sebagai Cikgu Chandra juga didakwa diserang dan keretanya dipecahkan sehingga menimbulkan ancaman terhadap keselamatan beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak polis memantau situasi berkenaan dengan teliti bagi mengelakkan sebarang insiden yang lebih serius daripada berlaku.

Katanya, sekiranya keadaan tersebut tidak dikawal, ia berpotensi mencetuskan ketegangan yang lebih besar termasuk kemungkinan berlaku tindak balas daripada pihak lain.

Beliau turut mengingatkan agar peristiwa lampau seperti kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, serta insiden rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya tidak berulang kerana perkara sedemikian boleh menjejaskan keharmonian serta perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Dalam masa sama, beliau memohon pihak polis mengambil tindakan tegas serta menyediakan kawalan keselamatan kepada individu yang terlibat dalam gerakan berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin dan keadaan kekal aman.

Isu binaan haram di beberapa kawasan sebelum ini menjadi perhatian apabila terdapat dakwaan mengenai struktur atau bangunan yang didirikan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Perkara itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat serta aktivis yang menuntut tindakan tegas diambil terhadap pihak yang didakwa melanggar undang-undang.

Gerakan yang memperjuangkan isu tersebut dilaporkan semakin aktif sejak kebelakangan ini dengan beberapa individu tampil menyuarakan pandangan serta mendedahkan dakwaan pelanggaran peraturan.

Namun perkembangan itu juga dilihat mencetuskan ketegangan apabila berlaku ancaman dan serangan terhadap individu yang terlibat dalam gerakan berkenaan. – HARAKAHDAILY 10/3/2026

- Advertisement -