
WASHINGTON: Harga minyak dunia menyaksikan turun naik secara dramatik apabila jatuh ke bawah USD90 setong lewat Isnin (9 Mac) selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi bayangan bahawa konflik perang Iran yang mencetuskan kegelisahan pasaran tenaga global mungkin hampir berakhir.
Sebelum itu, laporan AP berkata pasaran tenaga global bergelora apabila perang yang semakin meluas di Iran mengganggu pengeluaran minyak serta laluan perkapalan di seluruh Timur Tengah kawasan yang menjadi nadi utama bekalan tenaga dunia.
Tambah laporan itu, kegusaran terhadap gangguan bekalan tersebut melonjakkan harga minyak dengan mendadak pada Isnin.
Namun lonjakan itu tidak bertahan lama apabila pasaran membuat pembalikan ketara sejurus selepas Trump menyatakan kepada CBS News bahawa beliau percaya ‘perang itu hampir selesai sepenuhnya’.
Harga minyak mentah Brent menurut AP, melonjak seketika kepada USD119.50 setong pada Isnin paras tertinggi sejak musim panas selepas Rusia menyerang Ukraine pada 2022.
Pada masa yang sama, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) keluaran Amerika Syarikat turut meningkat sehingga USD119.48 setong pada satu ketika.
Namun, sentimen pasaran berubah dengan pantas apabila harga kedua-dua penanda aras itu merosot semula, menjunam ke bawah USD$90 setong lewat hari yang sama.
Walaupun begitu, harga semasa masih jauh lebih tinggi berbanding sekitar USD70 setong sebelum Amerika Syarikat dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari lalu.
Konflik yang kini memasuki minggu kedua itu melibatkan negara serta infrastruktur yang amat penting kepada pengeluaran dan pengangkutan minyak serta gas dunia, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius terhadap kestabilan bekalan tenaga global.
Perkembangan politik di Tehran turut menambah ketegangan apabila Iran pada Isnin menamakan Mojtaba Khamenei sebagai pengganti kepada bapanya yang telah meninggal dunia dalam serangan AS-Israel pada 28 Februari lalu, Almarhum Ayatollah Ali Khamenei, sebagai pemimpin tertinggi negara itu.
Langkah tersebut dilihat sebagai tanda penentangan daripada kepimpinan Iran ketika Amerika Syarikat dan Israel terus melancarkan serangan pengeboman.
Dalam masa yang sama, kebimbangan terhadap keselamatan laluan laut menyebabkan trafik kapal tangki minyak hampir terhenti di Selat Hormuz laluan sempit di pesisir Iran yang lazimnya mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia setiap hari.
Situasi itu turut memaksa beberapa pengeluar minyak utama di rantau Teluk seperti Iraq, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu mengurangkan pengeluaran kerana kekangan eksport, termasuk kehabisan ruang penyimpanan.
Sejak konflik tercetus, Iran, Israel dan Amerika Syarikat masing-masing dilaporkan menyerang kemudahan minyak dan gas, sekali gus meningkatkan lagi kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global.
Sementara menurut Nicholas Mulder, profesor sejarah di Cornell University yang mengkaji kesan ekonomi peperangan, senario yang sedang berlaku kini berpotensi menjadi kejutan bekalan minyak terbesar dalam sejarah moden.
Beliau menjelaskan bahawa pengurangan pengeluaran oleh negara pengeluar di Teluk menyebabkan kehilangan bekalan minyak global pada skala yang luar biasa.
“Kita sedang melihat kehilangan minyak sekitar tiga hingga empat kali ganda lebih besar berbanding krisis minyak semasa Krisis Minyak 1973 dan Krisis Minyak 1979,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2026











