
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari bersetuju supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu ‘mafia korporat’ dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Namun, beliau menyifatkan desakan DAP supaya kerajaan menubuhkan RCI tersebut hanyalah satu ‘wayang opera’ yang dimainkan oleh parti itu untuk berlepas diri daripada ‘sisi gelap’ kerajaan dan bukannya benar-benar demi keadilan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke terdahulu mengeluarkan desakan tersebut yang dinyatakannya sebagai keputusan mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu, dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Isu didedahkan oleh media antarabangsa, Bloomberg itu melaporkan kewujudan gejala mafia korporat dengan menyediakan perkhidmatan intimidasi bagi memaksa pengambilalihan syarikat melibatkan rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM.
Laporan tersebut mendedahkan modus operandi ‘mafia korporat’ itu adalah dengan menggunakan serbuan serta siasatan untuk memberi tekanan kepada eksekutif supaya menjual pegangan saham dalam syarikat disasarkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun menafikan laporan berkenaan sambil menyifatkannya tidak berasas, selain menggesa mana-mana pihak mempunyai maklumat membuat laporan polis.
Sidang Dewan Rakyat baru-baru ini turut menyuarakan desakan siasatan termasuk tindakan ke atas Azam Baki, sebelum Anthony menegaskan isu itu sebagai menyalahgunakan institusi penguatkuasa untuk kepentingan peribadi.
“Ini bukan kali pertama Bloomberg membuat laporan negatif tentang PMX (Perdana Menteri ke-10). Ketika Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa PMX campur tangan dalam urusan SPRM, kami Ahli-ahli Parlimen pembangkang membawa perkara itu ke Parlimen.
“Pada waktu itu, mengapa DAP tidak bersuara? PMX ketika itu menyatakan tindakan akan diambil, manakala polis pula memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan terhadap Bloomberg. Namun, sudah dua tahun berlalu — di manakah hasil siasatan tersebut?
“Sekarang, laporan mengenai ‘mafia korporat’ juga dibuat oleh agensi yang sama, iaitu Bloomberg. Bezanya, sekarang pilihan raya sudah semakin hampir,” pertikai Ahmad Fadhli mendedahkan permainan DAP itu.
Beliau turut menyingkap betapa sesiapa sahaja ketika ini secara terbuka dapat melihat dengan mata kepala yang normal serta menilai bahawa seolah-olah ada ‘sesuatu’ di sebalik siasatan intensif dilakukan SPRM mutakhir ini.
Beliau mengemukakan contoh pada awal Mac 2025 apabila bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob diisytiharkan sebagai suspek oleh SPRM, namun dua minggu kemudian Ahli Parlimen Bera itu mengisytiharkan tidak pernah menarik sokongan kepada Anwar.
“Selepas itu, kes tersebut senyap sehingga sekarang. Kebetulankah semua ini? Nilailah dengan kepala yang waras. Apa jua yang berlaku sekalipun, DAP tetap bersama (Dato’ Seri) Anwar Ibrahim.
“(Lagi pula) semua keputusan kerajaan merupakan tanggungjawab bersama (collective responsibility). Jika DAP keluar kerajaan sekalipun pada Julai ini, selepas pilihan raya mereka tetap akan bergabung semula,” tempelaknya. – HARAKAHDAILY 7/3/2026











