
SELAYANG: Yayasan Kubra melalui firma guamannya, Tetuan Hariz Syakinah & Co, telah mengeluarkan dua Notis Tuntutan (LOD) berasingan kepada dua Ahli Yang Berhormat Pakatan Harapan, semalam.
Notis tersebut diberikan kepada Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, berhubung pencerobohan tanah milik yayasan itu di sini.
Menurut notis berkenaan, Yayasan Kubra merupakan pemilik berdaftar bagi tiga lot tanah iaitu PT 19501, PT 19502 dan PT 19503 di Mukim Rawang, Daerah Gombak.
Dalam surat tersebut, pihak yayasan menyatakan bahawa William Leong telah memasuki tanah berkenaan pada 12 Februari 2026 tanpa kebenaran mana-mana pemegang amanah yayasan.
Kenyataan tersebut turut merujuk kepada satu hantaran Facebook yang dimuat naik oleh beliau berkaitan kehadirannya di lokasi tersebut.
Pihak peguam menegaskan bahawa memasuki tanah milik persendirian tanpa kebenaran pemilik berdaftar adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

Menurut pihak peguam itu, kedudukan sebagai Ahli Parlimen tidak memberikan sebarang hak atau kuasa untuk menceroboh tanah milik persendirian.
Dalam notis berasingan yang turut dikeluarkan, Chua Wei Kiat dikatakan memasuki tanah sama pada 13 Februari 2026 seperti yang dipaparkan dalam hantaran _Facebook_ miliknya yang menunjukkan kehadiran ADUN itu di tanah berkenaan.
Peguam yayasan menegaskan bahawa kapasiti sebagai ADUN juga tidak memberikan sebarang kekebalan atau kuasa untuk memasuki tanah persendirian tanpa kebenaran sah.
Kedua-dua wakil rakyat tersebut dituntut untuk pertamanya membayar ganti rugi sebanyak RM35,000 atas pencerobohan.
Keduanya, kedua-dua wakil rakyat tersebut dituntut untuk membuat permohonan maaf terbuka secara kekal di halaman Facebook masing-masing, selain memberi akujanji untuk tidak mengulangi tindakan tersebut.
Mereka diberikan tempoh 14 hari dari tarikh surat untuk mematuhi tuntutan tersebut, jika gagal yang demikian, pihak yayasan memaklumkan akan memfailkan tindakan undang-undang termasuk permohonan injunksi dan tuntutan kerugian lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, firma guaman yang sama memaklumkan bahawa mereka telah menerima mandat untuk mewakili Yayasan Kubra.
Ia berhubung tindakan saman yang difailkan di Mahkamah Majistret Shah Alam oleh pihak yang dikaitkan dengan Kuil Sri Utchimalai Rawang terhadap Yayasan Kubra dan pihak lain.
Surat turut dialamatkan kepada firma Tetuan Raj & Sach, memaklumkan bahawa sebarang serahan dokumen mahkamah termasuk Writ Saman dan Penyata Tuntutan hendaklah diserahkan kepada Tetuan Hariz Syakinah & Co selaku peguam cara kepada Yayasan Kubra.
Terdahulu, Yayasan Kubra menegaskan mereka pemilik sah tanah di Rawang sejak 1998 dan telah melalui proses undang-undang termasuk notis pengosongan serta aduan polis.
Mereka menekankan isu itu bukan berkaitan agama atau kaum tetapi pencerobohan tanah dan kedaulatan undang-undang.
Tanah tersebut dirancang untuk pembangunan perumahan atau kemudahan asnaf, dan peguam telah dilantik untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pihak Kuil Sri Uchimalai Muniswararman memfailkan saman di Mahkamah Majistret Shah Alam terhadap Yayasan Kubra dan pihak ketiga.
Mereka mendakwa perobohan kuil dilakukan tanpa perintah mahkamah dan menafikan telah mengosongkan tapak secara sukarela.
Pihak kuil turut menuntut agar semua tindakan perobohan dihentikan sementara menunggu keputusan mahkamah. – HARAKAHDAILY 5/3/2026











