Israel serang ibu pejabat TV Al-Manar di Beirut

- Advertisement -

BEIRUT, Lubnan:Tentera Zionis Israel telah menyerang ibu pejabat Al-Manar Television di daerah Dahiyeh selatan Beirut, lapor Anadolu Agency memetik kenyataan stesen penyiar pro-Hizbullah.

Al-Manar Television dalam kenyataannya berkata, bangunan milik stesen TV tersebut yang terletak di kawasan kejiranan Haret Hreik disasarkan dalam serangan udara Israel terbaharu di Lubnan itu menyebabkan letupan kuat kedengaran di seluruh daerah berkenaan.

- Advertisement -

Serangan itu berlaku selepas Israel mengeluarkan amaran lewat Isnin yang menyasarkan bangunan TV Al-Manar, menurut penyiar Lubnan, MTV.

Tambah laporan itu, ketegangan tersebut berlaku susulan pengumuman kumpulan pejuang Islam Hezbollah awal Isnin bahawa ia telah menyasarkan tapak tentera di utara Israel dengan rentetan roket dan dron sebagai tindak balas kepada serangan Israel yang berterusan ke atas Lubnan dan juga serangan tentera bersama AS-Israel terhadap Iran.

Tentera Israel dalam kenyataannya mengakui ia telah menjalankan serangan udara di Beirut, menyasarkan apa yang didakwanya sebagai pusat arahan dan kemudahan penyimpanan senjata Hezbollah.

AS dan Israel telah meneruskan serangan besar-besaran ke atas Iran sejak Sabtu, membunuh beberapa pemimpin tertinggi Iran, termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei dan pegawai tertinggi tentera.

Sejak perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani oleh Israel dan Lubnan berkuat kuasa pada akhir November 2024, Israel telah melakukan pelanggaran hampir setiap hari di Lubnan yang telah membunuh ratusan orang.

Israel memulakan serangannya terhadap Lubnan pada Oktober 2023 dan meningkatkannya menjadi perang besar-besaran pada September 2024, membunuh lebih 4,000 nyawa dan mencederakan sekitar 17,000 orang.

Terdahulu, pada tahun lepas, ibu pejabat stesen televisyen dan radio Iran menjadi sasaran bedilan rejim Zionis Israel ketika serangan misil bertubi-tubi ke atas negara itu memasuki hari keempat pada Isnin, 16 Jun.

Pada ketika itu, stesen Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB) di Tehran diserang ketika Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memperhebatkan kempen pengeboman mereka.

Serangan ganas itu berlaku ketika siaran langsung sedang berlangsung dihoskan oleh seorang penyampai wanita sehingga menyebabkan studio tersebut diselubungi debu, sebelum beberapa saat kemudian, satu letupan kuat menggegar skrin di belakang penyampai tersebut yang segera mematikan kamera dan kedengaran suaranya melaungkan “Allahu Akbar” sambil menangis. –HARAKAHDAILY 3/3/2026

- Advertisement -