Fenomena ‘bulan merah’ hiasi langit malam ini

Gerhana bulan penuh berwarna merah dirakam dari MAHA Tower, Langkawi pada 8 September 2025 (Foto: MYSA).
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Fenomena gerhana bulan penuh atau lebih dikenali sebagai ‘bulan merah’ dijangka menghiasi langit malam ini bersamaan 14 Ramadan 1447 Hijrah, bermula jam 7.26 malam hingga 9.17 malam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), kejadian itu merupakan satu-satunya gerhana bulan penuh yang berlaku pada tahun 2026, manakala fenomena sama hanya dijangka berulang pada 31 Disember 2028.

- Advertisement -

“Fenomena gerhana penuh kali ini boleh disaksikan di Asia Timur, Australia, Lautan Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Tengah. Di Asia Tengah serta sebahagian besar Amerika Selatan pula, hanya berlaku gerhana bulan separa.

“Fenomena ini menyebabkan bulan kelihatan kemerahan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

MYSA juga memaklumkan, tempoh keseluruhan gerhana mengambil masa kira-kira lima jam 39 minit, manakala fasa gerhana penuh berlangsung hampir 58 minit.

Tambah MYSA, fenomena yang sering digelar sebagai ‘bulan merah’ itu berlaku apabila bumi berada di antara Matahari dan Bulan, sekali gus menyebabkan bayang-bayang bumi menutupi permukaan bulan sepenuhnya.

“Ketika itu, cahaya Matahari yang melalui atmosfera Bumi akan dibiaskan dan hanya spektrum cahaya berwarna merah dipantulkan ke permukaan Bulan, sekali gus menghasilkan warna kemerahan yang dapat dilihat dari bumi,” jelas kenyataan itu.

Secara astronominya, ujar kenyataan itu lagi, gerhana bulan merupakan fenomena semula jadi yang lazimnya berlaku sekurang-kurangnya dua kali setahun.

“Namun, tidak semua gerhana mencapai fasa penuh atau dapat disaksikan dengan jelas di sesuatu lokasi.

“Gerhana bulan penuh dianggap lebih istimewa kerana keseluruhan permukaan Bulan berada dalam bayang umbra bumi,” ujar kenyataan itu.

Di Malaysia, fenomena ini sering mendapat perhatian masyarakat, khususnya umat Islam kerana ia berkait dengan pelaksanaan solat sunat gerhana (solat khusuf). Selain itu, dalam sejarah tamadun manusia, gerhana bulan pernah dikaitkan dengan pelbagai kepercayaan dan mitos sebelum penjelasan saintifik mengenainya difahami secara meluas.

Sejak penubuhannya, MYSA giat menjalankan pemantauan serta penyebaran maklumat berkaitan fenomena angkasa sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan minat masyarakat terhadap bidang sains serta astronomi negara.

Orang ramai dinasihatkan mendapatkan lokasi yang lapang dan bebas pencemaran cahaya bagi menyaksikan fenomena tersebut dengan lebih jelas, selain memastikan keadaan cuaca mengizinkan bagi pengalaman cerapan yang optimum. HARAKAHDAILY 3/3/2026

- Advertisement -