Komitmen Kelantan santuni, perkasa OKU berterusan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam menyantuni serta memperkasa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan dan kepentingan komuniti OKU serta berusaha meningkatkan penyertaan mereka dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi dan kepimpinan.

- Advertisement -

“Setiap individu yang Allah ciptakan mempunyai kelebihan dan kemahiran yang perlu dicungkil dan diambil berat tanpa mengira siapa mereka.

“Golongan OKU sangat istimewa dan doa-doa mereka merupakan rahmat buat kita semua,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Menggapai Keberkatan Ramadan Bersama OKU 2026 di Masjid Jamek Sultan Mansor, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Rohani Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud.

Menurut Tengku Mohamad Rizam, keberadaan komuniti OKU dalam masyarakat termasuk dalam aspek kepimpinan telah lama dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW dan perlu terus diperkasakan sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan.

“Malaysia dan Kelantan khususnya memerlukan hala tuju yang dinamik dan strategik dalam memperkasa modal insan terdiri daripada komuniti OKU agar segala aspek meliputi martabat, akidah, hak dan tanggungjawab serta perlindungan dapat dibangunkan secara lebih efisien dan efektif,” katanya.

Tambahnya, cabaran yang dihadapi golongan OKU bukan sahaja bersifat fizikal bahkan melibatkan aspek mental, justeru mereka perlu terus diperkasa supaya menjadi bukti kejayaan OKU di Kelantan.

Beliau turut menekankan kepentingan memartabatkan aksesibiliti kepada golongan OKU dalam segenap aspek selaras hasrat kerajaan untuk melahirkan OKU berdaya saing dan mampu menjadi pembimbing kepada masyarakat.

“Saya berharap lebih ramai OKU di Kelantan berketrampilan dan memahami isu-isu berkaitan supaya dapat menjadi pelapis kepimpinan pada masa hadapan,” ujarnya.

Tengku Mohamad Rizam juga menyifatkan penganjuran program seumpama itu mampu menjadi momentum memperkukuh semangat muhibah dan harmoni antara pihak kerajaan dan warga OKU, di samping memberi ruang pertemuan secara langsung sebagai tanda komuniti tersebut sentiasa diberi perhatian. –HARAKAHDAILY 2/3/2026

- Advertisement -