Cukai tanah P Pinang melonjak hingga puluh ribu ringgit?

Ustaz Fawwaz gesa penangguhan segera

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil langkah segera berhubung isu kenaikan cukai tanah yang disifatkan mendadak dan membebankan rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang itu menuntut supaya penguatkuasaan kenaikan mendadak bagi kes ekstrem yang mencecah ribuan kali ganda ditangguhkan sehingga semakan bebas selesai.

- Advertisement -

Selain itu, beliau menuntut kerajaan negeri melaksanakan had kenaikan (cap) secara berfasa supaya tidak melebihi kadar tertentu setahun bagi membolehkan rakyat merancang kewangan.

Katanya, kerajaan negeri juga perlu mengautomatikkan pelarasan bagi lot First Grade atau tiada kategori melalui pengesahan kegunaan tanpa memaksa rakyat membuat rayuan.

Menurut beliau, ia khususnya pemilik kecil, serta membentangkan laporan audit data e-Tanah dan punca ralat termasuk pelan pembetulan yang jelas bersama tempoh masa.

“Rakyat Pulau Pinang bukan menolak keadilan cukai. Rakyat menolak ketidakcekapan yang dibayar dengan duit rakyat.

“Kerajaan negeri jangan hanya pandai memberi angka dan contoh, tetapi gagal menyediakan dasar pelaksanaan yang berperikemanusiaan.

“Keadilan bukan sekadar ‘selaras dengan kaedah’. Keadilan ialah apabila rakyat tidak dizalimi oleh kejutan cukai dan birokrasi rayuan,” tempelak beliau dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang pada 1 Mac 2026 berhubung kenaikan cukai tanah negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang dilaporkan berkata ia kenaikan cukai itu bukan berpunca daripada semakan cukai 2026 tetapi ‘pelarasan kepada kadar sebenar_ bagi hak milik tertentu.

Walau bagaimanapun, Ustaz Muhammad Fawwaz berkata penjelasan yang diberikan Ketua Menteri itu tidak menjawab keresahan rakyat.

Menurutnya, rakyat bukan mempertikai hak kerajaan mengutip cukai secara adil, sebaliknya mempertikai cara pelaksanaannya yang disifatkan mendadak, bercelaru dan memindahkan beban kepada orang ramai.

Beliau berkata, Ketua Menteri sendiri mengakui wujud bil cukai yang melonjak daripada puluhan ringgit kepada puluhan ribu ringgit, dan sama ada ia dipanggil ‘semakan’ atau ‘pelarasan’, hakikatnya rakyat menerima kejutan cukai yang melampau.

“Ini bukan soal istilah. Ini soal kehidupan, aliran tunai dan kelangsungan pemilik kecil serta pengusaha tempatan,” bidasnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan meletakkan kesalahan kepada pemilik tanah kerana dikatakan membayar terlalu rendah selama 30 tahun, sedangkan pentadbiran tempoh itu di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

Katanya, jika wujud ketidakselarasan sejak 1994 dan masalah data sejak 2002, pembetulan sepatutnya dibuat secara berfasa, berhemah dan telus sejak awal, bukan apabila rakyat sudah terhimpit.

Mengulas mekanisme ‘rayuan’ yang disifatkan sebagai penyelesaian terbaik oleh kerajaan, beliau berkata rakyat tidak patut dipaksa merayu untuk mendapatkan kadar munasabah.

“Jika algoritma, data dan lawatan tapak boleh menghasilkan bil yang tersasar begitu jauh sehingga boleh turun daripada RM68,000 kepada RM12,155, itu tanda jelas sistem penilaian asal tidak cukup tepat dan tidak cukup adil.

“Beban membetulkan kelemahan pentadbiran tidak boleh dipindahkan kepada rakyat melalui proses rayuan yang memakan masa, kos dan tenaga,” tegasnya.

Beliau juga membangkitkan isu sekolah dan rumah ibadat yang menurutnya membuktikan masalah pelaksanaan, apabila pindaan sistem e-Tanah masih berjalan ketika semakan besar-besaran dilaksanakan.

“Maknanya, kerajaan melaksanakan semakan besar-besaran ketika sistem belum siap, lalu bil tinggi keluar dahulu dan selepas rakyat bising barulah ‘boleh semak dan pelarasan’. Ini pendekatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2026

- Advertisement -