Dunia antarabangsa digesa tegas terhadap Israel-AS

Susulan serangan terancang ke atas bumi Iran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dunia antarabangsa wajib berdiri menentang serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Republik Islam Iran, demikian gesa Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

- Advertisement -

“Setiap kali Ramadan, syaitan manusia ini seringkali bertindak mencerobohi daerah kemanusiaan. Kali ini mangsanya ialah Iran. Kita mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan yang tidak bermoral ini.

“Semoga Allah SWT menganugerahkan kesabaran dan ketenangan kepada rakyat Iran dalam menempuhi saat-saat sukar ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Media Iran melaporkan beberapa peluru berpandu mengenai kawasan sekitar University Street dan Jomhouri Street di Tehran, manakala saksi memaklumkan asap tebal menjulang dari beberapa bahagian bandar itu sejurus dentuman kuat kedengaran.

Serangan terancang oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas beberapa sasaran di Iran itu menandakan peningkatan dramatik selepas berminggu-minggu tekanan ketenteraan yang memuncak serta kebuntuan diplomasi.

Sementara wartawan Al Jazeera di lokasi melaporkan, asap jelas kelihatan tidak lama selepas letupan berlaku, dan pelutu berpandu turut dilaporkan menghampiri kawasan pejabat Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei.

Agensi berita Tasnim pula melaporkan letupan berlaku di kawasan utara Tehran, termasuk daerah Seyyed Khandan, menunjukkan skala serangan yang lebih meluas daripada laporan awal.

Terdahulu Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, dilaporkan sebagai menyifatkan tindakan itu sebagai langkah prapertahanan bagi ‘menghapuskan’ ancaman terhadap Israel.

Beliau berkata operasi berkenaan adalah sebahagian usaha menghalang Iran daripada meningkatkan ancaman terhadap keselamatan wilayah.

Susulan serangan itu, siren kecemasan dibunyikan di Israel, manakala tentera negara berkenaan mengeluarkan ‘amaran proaktif’ kepada orang ramai berhubung kemungkinan serangan balas menggunakan peluru berpandu atau dron.

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Israel dilaporkan mengumumkan penutupan ruang udara kepada semua penerbangan awam dan menasihatkan orang ramai supaya tidak menuju ke lapangan terbang sehingga keadaan kembali selamat.

Menurut pegawai pertahanan Israel yang dipetik Reuters, serangan itu dirancang beberapa bulan lebih awal, manakala tarikh pelancarannya ditetapkan beberapa minggu lalu, sekali gus menunjukkan persediaan taktikal menyeluruh oleh Israel dan sekutunya. – HARAKAHDAILY 28/2/2026

- Advertisement -