
PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) ini bukan sahaja parti siasah tetapi ahli-ahlinya yang melalui proses tarbiyah berterusan adalah pasukan yang berdisiplin dan taat pada pimpinan, dan parti membentuk kekuatan yang tidak ada pada mana-mana parti lain.
Setiap arahan dan keputusan parti diturunkan ke bawah, difahamkan, dihadami lantas terus dilaksanakan kerana setiap ahli memiliki cita-cita dan azam bersama iaitu untuk melihat matlamat perjuangan parti diangkat serta terlaksana. Keputusan parti adalah keputusan bersama ke arah mengejar cita-cita yang sama.
Kerana itu siapa sahaja yang bertahaluf atau bertaawun, bekerjasama dengan PAS, tidak akan rugi kerana mereka akan punya akses pada jentera parti yang terlatih dan berdisiplin yang tidak mudah dibayar atau diugut.
Jarang di Malaysia ada parti seumpama PAS. Seawal Parti Negara pimpinan Allahyarham Dato Onn pada PRU pertama, kemudian diikuti beberapa kerjasama lain termasuk dengan parti-parti kecil yang mahu berkawan, dengan Semangat 46, Hamim, BERJASA, Angkatan Perpaduan Ummah, Gagasan Rakyat, PKR, DAP, Pakatan Rakyat malah dengan Umno beberapa kali BERSATU dan kini Perikatan Nasional, semua dapat melihat keikhlasan dan kesungguhan PAS bila berkawan.
Apa yang dinyatakan oleh MP Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR) ini adalah luahan hati pengalaman beliau ketika bersama PAS.
PRU 2008 PAS memutuskan kekal bertahaluf dengan PKR dan DAP menjadi ‘friendly party’ (Selepas PRU itu barulah tertubuh Pakatan Rakyat).
Nik Nazmi bertanding di DUN Seri Setia, Kelana Jaya (sekarang selepas persempadanan bahagian pilihan raya sudah tidak ada Parlimen Kelana Jaya) calon Parlimen ketika itu juga dari PKR manakala DUN Subang Jaya ditandingi DAP (tidak tahulah sama ada Hannah akan mengakui sumbangan PAS atau tidak).
Ternyata jentera PKR ketika itu terlalu kecil dan tidak banyak berpengalaman. Atas arahan pimpinan PAS dituntut memberikan kerjasama pada calon-calon PKR termasuklah di Parlimen Kelana Jaya dan DUN Seri Setia yang ditandingi Nik Nazmi buat pertama kali.
Sama sahaja jentera PAS seluruh negara ketika itu, Kawasan-kawasan PAS berikan kerjasama sepenuhnya seolah-olah PAS yang bertanding.
Demikianlah dirasai BERSATU dalam PRU lalu. Ada kawasan di Selangor yang BERSATU terlalu lemah, tetapi kerjasama dan komitmen diberikan ahli-ahli PAS sehingga mampu menang di beberapa kerusi Parlimen dan DUN.
Lega apabila kawan mengiktiraf sumbangan PAS, ahli-ahli bukannya mengejar dan menuntut wang ringgit tetapi menyumbang tenaga (termasuklah wang ringgit mereka pula) kerana patuh arahan pimpinan dan mahu melihat cita-cita perjuangan parti tercapai. Jangan habis madu sepah diterajang.
Terima kasih Nik Nazmi dan kawan-kawan lain yang mengiktiraf jasa serta sumbangan PAS. Insya-Allah tidak rugi bila berkawan dengan PAS.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 27/2/2026











