Kerajaan tak boleh kompromi isu pijak al-Quran

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Johor mengecam sekeras-kerasnya tindakan menghina Islam sehingga ke peringkat memijak Al-quran yang didakwa berlaku di negara ini, sambil menegaskan kerajaan tidak boleh berkompromi dalam isu melibatkan kesucian agama.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata perbuatan tersebut bukan sekadar salah laku individu, sebaliknya satu penghinaan terbuka terhadap agama Persekutuan yang boleh mencabar kesabaran umat Islam serta berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat majmuk.

- Advertisement -

“Negara tidak boleh membiarkan perbuatan sebegini dianggap sebagai kes terpencil atau kesilapan kecil. Al-Quran bagi umat Islam bukan simbol budaya, tetapi wahyu suci. Maka tindakan memijaknya bukan isu sensitiviti semata-mata, tetapi satu provokasi yang disengajakan dan melampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebarang cadangan supaya pelaku hanya dinasihati atau diberikan pendidikan semata-mata merupakan pendekatan tidak bertanggungjawab dan memberi mesej bahawa penghinaan agama boleh dilakukan tanpa hukuman serius.

“Penghinaan terhadap al-Quran merupakan satu garis merah yang tidak boleh direndahkan atas apa jua alasan,” tegasnya.

Dalam kenyataan sama, beliau menggariskan empat pendirian utama PAS Johor, termasuk menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang secara tegas dan menyeluruh terhadap pelaku terlibat.

Katanya, kegagalan bertindak hanya akan menggalakkan pengulangan provokasi yang lebih berani pada masa hadapan.

Beliau turut menegaskan bahawa keharmonian masyarakat tidak boleh dibina dengan menggadaikan maruah agama, selain menekankan bahawa kebebasan bersuara tidak merangkumi kebebasan menghina.

“Menghina kitab suci al-Quran bukan sahaja ancaman kepada perpaduan negara bahkan boleh mengancam keselamatan negara. Tiada masyarakat bertamadun membenarkan kitab sucinya dipijak atas nama kebebasan,” katanya.

Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj ayat 32 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya ia daripada ketakwaan hati.”

Sehubungan itu, PAS Johor menyeru kerajaan dan pihak berkuasa bertindak segera, jelas dan tegas agar mesej yang sampai kepada rakyat ialah negara ini tidak pernah berkompromi dalam soal penghinaan agama.

“Keamanan negara hanya akan terpelihara apabila sempadan dan batas sensitiviti agama dihormati semua pihak,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman memaparkan aksi memijak al-Quran dimuat naik melalui akaun Threads ryandaselva, sekali gus telah mencetuskan kecaman meluas dalam kalangan pengguna media sosial.

Sehubungan itu, polis mengesahkan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang dikaitkan dengan insiden tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan. Menurut pihak berkuasa, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan. – HARAKAHDAILY 27/2/2026

- Advertisement -