Hina al-Quran: Siasatan mesti susuli pendakwaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menuntut agar Kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap individu yang memijak al-Quran dan menghina Islam di platform media sosial Threads baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua DMPM, Ustazah Nuridah Salleh, berkata tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan individu berkenaan wajar dihargai, namun kes tersebut tidak seharusnya berakhir dengan siasatan sahaja.

“Siasatan mesti disusuli dengan pendakwaan di bawah undang-undang bagi menunjukkan keseriusan kerajaan menangani perbuatan yang mencetuskan kebencian terhadap Islam,” katanya dalam satu kenyataan media di laman sosial.

Menurut beliau, permohonan maaf individu tersebut tidak mencukupi, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah pada bulan Ramadan.

Dalam pada itu, DMPM juga menekankan bahawa punca kebencian individu itu terhadap Islam perlu dikaji dan ditangani dengan sewajarnya.

“Malaysia adalah negara majoriti Muslim yang menekankan semangat toleransi. Sikap islamophobia sebegini tidak boleh diterima,” tambah beliau.

Tambah Nuridah, DMPM akan terus memantau perkembangan kes ini dan berharap tindakan kerajaan dapat memberi pengajaran agar kejadian serupa tidak berulang.

Terdahulu media melaporkan, seorang penuntut sebuah universiti tempatan direman empat hari bagi membantu siasatan susulan tular gambar lelaki disyaki memijak al-Quran dan memuat naik di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah dilaporkan sebagai berkata, penuntut berusia 21 tahun itu ditahan awal pagi selepas bapanya membuat laporan polis mengenai hantaran di media sosial berkaitan penghinaan terhadap al-Quran.

“Dalam kejadian itu, anak pengadu memuat naik gambar menghina kitab suci agama Islam di media sosial miliknya,” katanya.

Sejak semalam, tular di media sosial gambar kaki seorang lelaki memijak al-Quran, bersama tangkap layar hantaran yang dikaitkan dengan penuntut universiti terbabit.

Turut tular adalah gambar suspek serta tangkap layar komen menghina nabi Muhammad SAW.

Susulan laporan tersebut, polis menahan penuntut untuk siasatan lanjut dan direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 28 Februari.

Ashari menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri sehingga boleh menggugat ketenteraman awam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara hingga setahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. – HARAKAHDAILY 27/2/2026

- Advertisement -