Isu Ketua Pembangkang: TSMY-TGHH bincang secara tertutup

Akan diputuskan dalam mesyuarat, bukan melalui media

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) telah menghubungi dan bercakap melalui telefon dengan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) berhubung kedudukan Ketua Pembangkang.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman mendedahkan perkara tersebut dengan berkata, langkah itu adalah teladan yang baik kerana perkara berkenaan dibincangkan secara baik.

- Advertisement -

“Difahamkan TGHH jawab, beliau tidak boleh buat keputusan sendiri, dan akan bawa perkara ini untuk diputuskan dalam mesyuarat terdekat, insya-Allah.

“Sebagai resiprokal, kami pun tidak pernah membuat sebarang desakan supaya kedudukan kerusi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), baharu dan dahulu, ditukar tempat. ‘Molek doh situ’ (sudah elok),”
dedah beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Menurutnya, sidang Dewan Rakyat berbaki empat hari sahaja lagi dan tumpuan pembangkang kini adalah kepada perbahasan membabitkan isu rakyat serta isu nasional.

“Melainkan jika BERSATU inginkan jawatan Ketua Pembangkang atau Ketua Whip, itupun kita boleh bincang, tiada masalah.

“Kita bincang molek (elok), ambil kira pandangan Ahli Parlimen dan pendirian parti, bukan serang secara terbuka (di media).

“Selebihnya, ‘let the numbers speak for themselves’ ” terang beliau membidas kenyataan seorang pemimpin tertinggi BERSATU.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa pemimpin tertinggi BERSATU itu berkata, kelewatan pemindahan Ahli Parlimen partinya yang dipecat ke blok bebas boleh menjejaskan kredibiliti PN.

Beliau menegaskan Ahli Parlimen yang dipecat terputus serta-merta hubungan dengan parti dan sewajarnya dipindahkan ke blok bebas serta dilucutkan jawatan kuota pembangkang kerana kedudukan politik mereka berubah.

Menurutnya, kelewatan tindakan itu menimbulkan kekeliruan, menjejaskan kredibiliti PN sebagai pembangkang dan mencerminkan kelemahan pengurusan disiplin politik.

Walau bagaimanapun, Mohd Syahir menyarankan pemimpin tersebut supaya sama-sama ‘berpuasa’ daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Hal dalaman, ikut saluran dalaman, bukan serangan terbuka. Tugasan kami di Parlimen amat banyak. Isu perjanjian tarif (ART), laporan audit, bajet tambahan, Rang Undang-undang (RUU) Peguam Negara.

“(Termasuk) RUU tempoh dua penggal Perdana Menteri, isu SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), isu Azam Baki, isu ekonomi, isu pendidikan, mafia korporat dan pelbagai isu nasional,” jelasnya.

Beliau berkata, melihat kepada perkara yang ada di atas meja, hal melibatkan perebutan jawatan dan kerusi tidak menjadi keutamaan.

“Lebih baik tumpu isu rakyat, perkemas jentera media sosial (bukan ceplos), serang Pakatan Harapan (PH) atau Madani, bukan serang kawan sendiri.

“Berbalik kepada kedudukan di Parlimen, kita serahkan kepada pucuk pimpinan. Pengerusi PN yang baharu pun belum sempat panaskan kerusi. ‘Let the dust settle first’ (Biar keadaan reda dahulu).

“Insya-Allah, Ketua Whip (PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan) akan beri penjelasan. Speaker pun tunggu surat atau pemakluman daripada Ketua Whip dalam perkara ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan pandangan semua Ahli Parlimen di blok pembangkang perlu diambil kira sebagaimana diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat 4A(3).

Peraturan Mesyuarat 4A(3) menyatakan bahawa Ketua Pembangkang ertinya berhubungan dengan Majlis Mesyuarat, ahli Majlis Mesyuarat yang sedang menjadi Ketua Kumpulan pihak Pembangkang. – HARAKAHDAILY 25/2/2026

- Advertisement -