IFFAH 1.0: Cakna derita wanita Islam di zon konflik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penderitaan yang dialami umat Islam di seluruh dunia, khususnya golongan wanita di negara-negara bergolak merupakan satu isu yang perlu diberi perhatian dan menjadi tanggungjawab bersama umat Islam.

Pengerusi i-AWARE, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, pelbagai inisiatif seperti program literasi, advokasi, dan kempen telah digerakkan sebelum ini bagi menzahirkan simpati dan empati terhadap nasib yang menimpa mereka.

- Advertisement -

​Menurutnya, usaha tersebut diteruskan lagi melalui penganjuran ‘program Iftar for Humanity’ (IFFAH 1.0) yang bertujuan mengumpul dana dan bantuan kewangan buat wanita di zon krisis seperti Palestin, Yaman, dan Syria.

​”Tujuan kita membuat program ini adalah untuk menghimpunkan para penginfaq serta menyampaikan bantuan kewangan kepada wanita-wanita yang berada dalam negara yang berkrisis.

​”Saya ingin tekankan bahawa isu dan agenda wanita Islam antarabangsa bukan hanya perlu diberi perhatian oleh kaum lelaki, tetapi wanita sendiri perlu tampil ke hadapan,” katanya.

​Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata demikian ketika berucap pada majlis IFFAH 1.0 di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah.

​Mengulas lanjut, Mumtaz berkata majlis iftar tersebut bukan sekadar medan pertemuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan para dermawan, malah ia turut diisi dengan forum solidariti menampilkan tokoh serta aktivis yang terlibat secara langsung dalam isu kemanusiaan.

​”Alhamdulillah, berkat kedatangan Ramadan, meja-meja jualan (untuk kutipan dana) yang pada awalnya berbaki akhirnya berjaya dilangsaikan.

​”Insya-Allah, puluhan ribu dana yang kita terima ini akan diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab dan mempunyai autoriti untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.

​Tambah beliau, umat Islam tidak seharusnya sekadar melihat pengorbanan dan air mata mangsa peperangan, sebaliknya perlu menterjemahkan sokongan tersebut dalam bentuk bantuan kewangan yang nyata.

​”Apabila wanita itu menderita, anak dan keluarga mereka juga menderita. Semoga usaha kecil ini menjadi tanda amal jariah kita di jalan Allah SWT.

​”Kita mendoakan agar Allah SWT memberikan kekuatan dan kemenangan kepada saudara-saudara kita di sana, dan mengizinkan kita suatu hari nanti untuk menjejakkan kaki ke bumi Palestin yang dibebaskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/2/2026

- Advertisement -