‘Satu undi, satu nilai’ bakal hakis kuasa politik Melayu

Persempadanan pilihan raya penentu siapa kuasai politik Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Landskap politik negara dijangka berdepan perubahan besar berikutan kemungkinan jumlah kerusi Parlimen akan ditambah dari 222 kepada 247 kerusi dalam masa terdekat, sebelum langkah persempadanan semula dilaksanakan.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, pertambahan kerusi adalah di bawah kuasa Parlimen.

- Advertisement -

“(Manakala) Urusan persempadanan adalah urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tapi ia perlu melalui kelulusan Perdana Menteri dan kerajaan.

“Ringkasnya siapa yang menguasai kerajaan, maka dia ada pengaruh kuat untuk menentukan persempadanan baharu.

“Cara paparan media arus perdana mungkin boleh menggambarkan kecenderungan dan hala tuju persempadanan yang akan dibuat,”katanya.

Beliau menyatakan, kebelakangan ini media dilihat cenderung menonjolkan soal ‘ketidakseimbangan kawasan’ dan sebelum ini turut diuar-uarkan konsep ‘one vote, one value’ bagi menggambarkan betapa buruknya sempadan pilihan raya sedia ada.

“Ada kerusi yang pengundinya mencecah 300,000 orang, ada ada juga kawasan yang kecil tidak sampai 30,000 orang pengundi.

“Kawasan yang pengundi ramai itu biasanya kawasan bandaraya atau bandar, manakala kawasan yang pengundi sedikit itu desa atau pedalaman,”jelas beliau.

Tambah Muhammad Fathi, ia adalah untuk mewajarkan langkah mewujudkan lebih banyak kerusi di kawasan bandar dan bandaraya.

“Apabila berlaku pertambahan kerusi nanti, kawasan yang mendapat tumpuan ialah bandar dan bandar raya, maka yang akan untung besar adalah parti yang menguasai kawasan tersebut,” katanya lagi.

Naratif ini menurut beliau, telah didendangkan sekian lama dan pihak yang paling rugi kelak adalah orang Melayu dan Bumiputera yang rata-ratanya mengundi di desa dan pedalaman.

“Ramai yang tidak sedar lalu turut terikut menari dengan rentak yang dimainkan tanpa menyedari implikasinya.

“Hakikatnya, jika pertambahan kerusi baharu bertumpu di kawasan bandar dan bandaraya, penguasaan politik Melayu sejak Merdeka akan semakin terhakis dan pudar,” ujarnya.

Beliau menegaskan lagi, perkara itu diburukkan lagi dengan tiga realiti yang menyedihkan ujarnya, pertama, parti politik yang menjadi wadah orang Melayu berpecah-pecah.

“Perpecahan ini melemahkan penguasaan politik bukan sahaja di kawasan bandar dan bandaraya, bahkan juga di pinggir bandar.

“Kedua, peratusan orang Melayu yang keluar mengundi adalah lebih kecil berbanding kaum lain.

“Bagi realiti ketiga pula, pengundi Melayu bertumpu di kawasan desa. Ramai orang Melayu yang tinggal di kawasan bandar dan bandaraya, atau pinggir bandar, tetapi membuang undi di kampung masing-masing,” katanya.

Menurutnya lagi, majoriti orang Melayu tidak sedar bahawa selama ini penguasaan politik mereka banyak bergantung kepada persempadanan sedia ada.

“Jika ia dirombak sedikit sahaja pun sudah cukup untuk menjadikan penguasaan politik orang Melayu di Tanah Melayu hanya tinggal sejarah.

“Oleh itu, jika persempadanan yang dicadangkan nanti bertumpu di kawasan bandar dan bandar raya, orang Melayu sepatutnya bersatu dan bangkit membantah,” hujahnya.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan bahawa Perlembagaan ada menyebut berkenaan ‘rural weightage’, iaitu satu prinsip yang memberikan kelebihan kepada kerusi-kerusi di kawasan desa serta pedalaman.

“Kita mengharapkan agar rakyat benar-benar memahami kesan proses persempadanan semula ini. Ia bukan sekadar satu episod dalam pelaksanaan sistem demokrasi, bahkan ia juga satu penentu kepada masa depan penguasaan politik di Malaysia. Moga Allah melindungi kita dari musibah,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2026

- Advertisement -