Pelantikan Dr Sam manifestasi kesediaan PN bergerak agresif

- Advertisement -

IPOH: Pelantikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu merupakan satu anjakan strategik dalam memperkukuhkan saf perjuangan blok pembangkang di negara ini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, pelantikan Dr Ahmad Samsuri atau turut dikenali sebagai Dr Sam juga menjadi manifestasi kesediaan PN untuk terus melangkah dan bergerak dengan lebih agresif.

- Advertisement -

​”Fokus utama kepimpinan baharu ini adalah untuk memacu dan membangkitkan kesedaran rakyat di seluruh pelosok negara, khususnya di Perak bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16),” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

​Terdahulu, Naib Presiden PAS itu disahkan sebagai Pengerusi PN yang baharu menerusi satu kenyataan bersama oleh empat presiden parti komponen gabungan berkenaan selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN di Pejabat Agung PAS Pusat, semalam.

​Menyifatkan dinamika perjuangan sebagai ‘asam garam’ politik, Idris berkata, segala cabaran dalaman dan proses peralihan sebelum ini adalah lumrah yang mematangkan lagi kerjasama parti komponen demi kelangsungan agenda penyatuan ummah.

​Tambah beliau, segala ujian yang berlaku dalam PN tidak sedikit pun melemahkan semangat perjuangan gabungan tersebut, malah beliau yakin kewibawaan Ahmad Samsuri mampu menyatukan sokongan rakyat yang mahukan sebuah pentadbiran berintegriti.

​Dalam pada itu, beliau berpendirian tegas bahawa kepentingan dan kebajikan rakyat mestilah didahulukan berbanding sebarang isu dalaman komponen yang masih dalam proses penyelesaian.

​Menurut beliau lagi, rakyat kini sedang memerhati dan menaruh harapan tinggi, justeru PN komited untuk menjadi alternatif terbaik yang fokus kepada penyelesaian masalah kos sara hidup dan kestabilan ekonomi, bukannya terjebak dalam politik remeh.

​”Dengan mandat baharu ini, gabungan itu akan terus konsisten memimpin gelombang perubahan menuju pilihan raya akan datang.

​”Di bawah teraju Pengerusi yang berlatarbelakangkan teknokrat dan pemimpin berjiwa rakyat, PAS Perak yakin PN akan terus melangkah gagah sebagai pejuang kedaulatan Islam dan tanah air, (serta) memastikan suara rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” tambahnya.

​Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan jentera di setiap peringkat untuk merapatkan saf, memberikan ketaatan kepada kepimpinan baharu, serta melipatgandakan gerak kerja bagi memastikan kemenangan rakyat pada PRU-16 nanti. – HARAKAHDAILY 23/2/2026

- Advertisement -