
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali menyifatkan sekarang adalah waktu paling sesuai untuk Perikatan Nasional (PN) membentuk jalur gabungan lebih luas dan besar membabitkan parti-parti di luar blok berkenaan.
Beliau berkata, cadangan itu termasuk membuka ruang kepada parti kecil seperti Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), PUTRA, BERJASA, MUDA dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Selain itu, menurutnya ia termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu berkelayakan untuk diserapkan di bawah satu payung besar.
“(Mereka) boleh diserapkan ke dalam Perikatan Nasional untuk menjadi satu payung besar bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi juga untuk rakyat
Malaysia secara amnya. Kenapa saya ingin cadangkan sebegitu?
“Kerana saya merasakan kalau kita tidak belajar daripada sejarah dan kita gagal untuk belajar dari sejarah, kita akan melakukan kesilapan. Kesilapan paling utama sebelum-sebelum ini adalah apabila parti-parti politik yang ada ingin bertanding solo tanpa sebarang gabungan.
“Dan ini akan menimbulkan sedikit ketidaktentuan, kecelaruan daripada rakyat atau pengundi untuk mengundi kerana takut gabungan itu tidak cukup kuat untuk membawa aspirasi rakyat yang mengundi mereka atau aspirasi pengundi yang mengundi mereka,” ujarnya dalam satu hantaran video di media sosial miliknya.
Beliau merujuk pengalaman Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tumbang selepas hampir 60 tahun memerintah.
Menurutnya, perkara itu berlaku apabila gabungan longgar parti-parti pembangkang ketika itu bergabung di bawah Pakatan Harapan (PH) 1.0 yang diketuai mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tambah beliau, pendekatan sama boleh dipertimbangkan semula bagi menghadapi gabungan PH dan BN di peringkat pusat pada PRU akan datang yang dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa, tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik pelantikan Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengundurkan diri sebelum ini.
Katanya, keputusan sebulat suara itu menamatkan kemelut kepimpinan dalam gabungan berkenaan dan wajar dihormati semua pihak.
Beliau berpandangan pelantikan itu selari dengan kedudukan PAS sebagai parti yang memiliki jumlah kerusi paling banyak dalam blok pembangkang di Dewan Rakyat, selain disertai BERSATU, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Muhammad Rafique berkata, pembangkang yang kuat diperlukan dalam sistem demokrasi berparlimen bagi memastikan wujud semak dan imbang terhadap kerajaan.
Menurut beliau yang juga seorang peguam, mana-mana pembangkang sememangnya menyimpan hasrat untuk mengambil alih kerajaan.
Justeru beliau menyatakan, satu kesatuan yang ampuh diperlukan bagi membawa Malaysia ke arah lebih baik berbanding pentadbiran Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Perlulah sekarang ini Perikatan Nasional memandang ke hadapan untuk membawa Malaysia ini ke arah satu jalan yang jauh lebih baik daripada apa yang sedang dipimpin dan dipandu oleh Kerajaan Madani,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2026











